Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PISD Pentas Terbaik Tangani Keganasan

PISD Pentas Terbaik Tangani Keganasan

PUTRAJAYA, Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018 yang berakhir hari ini, adalah pentas terbaik bagi menangani keganasan dengan menyelaras usaha bersepadu pelbagai negara untuk menghadapi militan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerjasama dalam soal keselamatan rentas sempadan boleh dibincangkan melalui dialog antarabangsa itu.

“PISD bekerjasama dengan Liga Dunia Muslim (Rabitah al-Islami) bagi membincangkan strategi yang boleh diambil untuk memerangi keganasan yang melanda beberapa negara.

“Persidangan dwi-tahunan ini adalah kejayaan terbesar Malaysia dalam memberikan sumbangan dan idea yang menyentuh isu penting membabitkan keselamatan rentas sempadan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutup PISD 2018 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim, Dr Muhammad Abdul-Kareem Al-Issa.

PISD 2018 selama dua hari, bertemakan ‘Kebijaksanaan dan Kesederhanaan Dalam Membanteras Keganasan’, dianjurkan KDN dengan kerjasama Rabitah Al-Alami Al-lslami, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Arab Saudi.

Ia dihadiri 1,000 peserta tempatan dan luar negara, membabitkan pegawai kanan kedutaan dan pesuruhjaya tinggi asing di Kuala Lumpur, NGO, ahli akademik, pegawai kanan kerajaan dan penuntut institusi pengajian tinggi.

Sebanyak 13 kertas kerja dibentangkan penceramah jemputan yang pakar dalam pelbagai aspek menentang keganasan, antaranya dari Singapura, Turki, Jepun, Filipina dan Malaysia menerusi empat sesi sidang pleno.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia juga akan berkongsi kejayaan program deradikalisasi dengan negara lain untuk memperluaskan usaha menangani ektremisme dan kegiatan militan.

“Kita sudah mencapai kejayaan sebanyak 97.5 peratus hasil program deradikalisasi yang dilaksanakan di negara ini.

“Dalam hal ini, kita bukan sahaja menekankan kaedah yang dilaksanakan polis dan tentera, tetapi juga cara menangani minda serta jiwa mereka yang terbabit dengan kegiatan keganasan,” katanya.

Katanya, Malaysia akan sentiasa memberikan sumbangan idea dan kerjasama bagi memastikan keganasan militan dapat di banteras sepenuhnya.

Leave a Reply

Top