Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Petualang’ Seludup Bangla Akan Ditahan

‘Petualang’ Seludup Bangla Akan Ditahan

MIRI, Jabatan Imigresen membayangkan lebih ramai kakitangannya yang menjadi ‘petualang’ kes penyeludupan warga Bangladesh akan ditahan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata pihaknya tidak berkompromi dengan kakitangan yang terbabit dalam kegiatan yang mengancam keselamatan negara.

Sehingga hari ini empat kakitangan jabatan itu yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Tanpa menyatakan secara terperinci individu yang ditahan, beliau berkata walaupun bukan semua kakitangan bersikap sedemikian, kes itu menjejaskan imej jabatan.

“Bak kata pepatah lama ‘kerana nila setitik rosak susu sebelanga’. Saya kesal dengan tindakan kakitangan terbabit dan mahu mereka yang terbabit dikenakan tindakan tegas,” katanya di majlis Perhimpunan Setia Berjasa di Kompleks Jabatan Imigresen dan Kastam Sungai Tujuh di sini hari ini.

Baru-baru ini, terbongkar satu sindiket penyeludupan warga Bangladesh melalui KLIA yang diuruskan empat kumpulan beroperasi di Dhaka.

Sindiket itu didakwa mendapat keuntungan sehingga RM5.2 juta daripada bayaran dikenakan ke atas setiap seorang warga Bangladesh yang diseludup ke Malaysia.

Bayaran ‘pelincir’ juga didakwa dibayar kepada beberapa pihak berkuasa, termasuk anggota dan pegawai Jabatan Imigresen serta pegawai kedutaan Malaysia di Dhaka.

Mustafar berkata, jabatan itu tidak akan berkompromi terhadap setiap kakitangannya yang melakukan kesalahan, kerana ia membabitkan aspek keselamatan negara.

Leave a Reply

Top