Perbadanan minyak nasional, Petroliam Nasional Bhd (Petronas), berada dalam kedudukan kukuh memasuki 2017 selepas transformasi yang dilaksanakan tahun lepas bagi memastikan kemampanan dan daya tahan kumpulan pada masa depan.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata dengan prasyarat utama yang dilaksanakan bagi mentransformasikan syarikat itu dan dengan jangkaan pemulihan pasaran, Petronas berkedudukan kukuh untuk berdepan dengan cabaran pada masa hadapan.

“Usaha berturutan dan penuh teliti kami bagi menyusun semula Petronas, mengurangkan kos dan menambah baik prestasi mula membuahkan hasil dalam menambah baik prestasi kami, seperti yang ditunjukkan menerusi keputusan yang kami catatkan.

“Kami yakin transformasi itu akan memastikan kemampanan dan daya tahan Petronas pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan prestasi Petronas bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2016 (tahun kewangan 2016), di sini, pada Isnin.

Keuntungan sebelum cukai Petronas bagi tahun kewangan 2016 turun lapan peratus kepada RM33.7 bilion daripada RM36.7 bilion dalam tahun kewangan 2015 susulan penurunan 17 peratus perolehan kepada RM204.9 bilion daripada RM247.7 bilion sebelumnya, sejajar dengan purata harga minyak mentah yang rendah pada tahun lepas.

Keuntungan bersih, bagaimanapun, meningkat 12 peratus kepada RM23.5 bilion daripada RM20.9 bilion pada tahun kewangan 2015, berikutan terutamanya perbelanjaan operasi dan perbelanjaan cukai rendah diimbangi sebahagiannya oleh purata harga rendah.

Kumpulan itu mengakhiri tahun kewangan 2016 dengan penarafan kredit kukuh, tahap kadar hutang rendah pada 17 peratus dan baki tunai kukuh yang direalisasikan daripada disiplin kewangan dan inisiatif kawalan kos.

Wan Zulkiflee berkata meskipun pasaran minyak mencatatkan pengimbangan semula, prospeknya masih kekal tidak menentu, justeru kumpulan akan terus berusaha mencatatkan produktiviti tinggi dan kecemerlangan operasi bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2017 (tahun kewangan 2017).

Dalam tahun kewangan 2016, kumpulan itu berjaya mengurangkan kos boleh dikawal sebanyak lapan peratus, atau RM4.1 bilion, berbanding tahun kewangan 2015.

Pengoptimuman operasi menerusi program seluruh organisasi Petronas dan Perikatan Pengurangan Kos 2.0, atau lebih dikenali sebagai Coral 2.0, dijangka terus menghasilkan penjimatan kos, kata Wan Zulkiflee.

Meskipun Petronas terpaksa mengurangkan kakitangannya seramai 2,300 orang tahun lepas dalam usaha untuk mengukuhkan akauntabiliti dan mengurangkan pertindihan tugas, Wan Zulkiflee berkata beliau tidak menjangkakan penstrukturan semula besar-besaran tenaga kerjanya dalam tahun kewangan 2017.

“Pada 2017, kami menyasar untuk meneruskan momentum mengekang kos dan meningkatkan kecekapan dan memastikan perubahan minda yang menumpukan kepada ‘menjadi lebih produktif dengan sumber yang kurang’ akan terus menjadi sebahagian penting daripada ‘budaya kerja’ Petronas,” katanya.

Sementara itu, bagi projek Gas Asli Cecair Pacific Northwest, Wan Zulkiflee berkata kumpulan itu masih sedang mengkaji syarat-syarat yang digariskan oleh

Canadian Environmental Assessment Agency dalam kelulusan bersyaratnya yang diperoleh tahun lepas sebelum mengumumkan rancangan Petronas pada masa hadapan.

Mengenai Kompleks Bersepadu Pengerang, beliau berkata, kemajuan projek itu mendahului jadual pada 54 peratus pada akhir tahun kewangan 2016 dan kemajuannya hampir 60 peratus pada Feb 2017.

Petronas memiliki perbelanjaan modal sehingga RM60 bilion bagi tahun kewangan 2017 berbanding RM50.4 bilion pada tahun kewangan 2016

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *