Anda di sini!
Utama > Terkini > Perwakilan Beri Reaksi Positif – TPM

Perwakilan Beri Reaksi Positif – TPM

mh online

image

Para perwakilan UMNO menyambut baik dan memberikan reaksi positif terhadap penjelasan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung beberapa isu utama termasuk dana RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden UMNO itu berkata, Najib pada majlis Taklimat Presiden turut memberikan penjelasan mengenai cabaran ekonomi negara.

“Daripada sambutan yang diberikan oleh para perwakilan, bukan hanya tepukan tetapi sambutan secara spontan yang memperlihatkan kesan balasan yang positif terhadap taklimat yang diberikan oleh presiden parti,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media bersama-sama seorang lagi Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas majlis Taklimat Presiden di sini, Selasa malam.

Majlis taklimat oleh presiden UMNO yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu dihadiri perwakilan daripada 191 bahagian UMNO.

Sementara itu, Hishammuddin berkata ia berlangsung dalam suasana mesra dan penuh semangat kekeluargaan seperti “anak-beranak dan adik-beradik”.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, penjelasan dan taklimat yang diberikan oleh Najib itu memastikan anggota parti tidak terus dibelenggu dengan isu-isu semasa yang menjurus kepada polemik dan pecah-belah.

“UMNO jikalau tidak dijaga dengan baik akan berpecah-belah kepada kumpulan-kumpulan serpihan. Itu yang kita mahu elakkan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO Datuk Mohd Shafie Apdal yang tidak kelihatan di sidang media itu pula enggan memberikan ulasan ketika ditemui pemberita kemudian.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika ditanya mengenai ketidakhadiran Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin pada taklimat tertutup itu, Tengku Adnan menyatakan itu adalah pilihan beliau (Muhyiddin) sendiri.

“Kami telah pun menjemput beliau, bukan tidak dijemput, kalau tak jemput lain lah, dah jemput tapi tak datang, apa yang kita boleh buat?” ujar beliau.

Sementara itu, anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata Najib juga mahu jentera parti fokus kepada kemenangan pilihan raya umum akan datang meski pun parti berdepan pelbagai cabaran ketika ini.

Anggota MT UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said berkata segala isu yang berbangkit itu telah pun dijelaskan berkali-kali kepada umum dan seharusnya tidak dibangkitkan lagi oleh anggota UMNO.

Bagi Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, beliau berpuas hati dengan taklimat presiden yang mengupas satu demi satu fakta tentang semua perkara yang diperkatakan umum di luar.

“Beliau telah berusaha memberi penjelasan sepenuhnya dan saya nampak semua perwakilan terima penjelasan beliau,” katanya.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top