Anda di sini!
Utama > Terkini > Perubahan Ini Bukan Untuk Suka- Suka

Perubahan Ini Bukan Untuk Suka- Suka

mh online

image

Penaja utama pasukan bola sepak Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menafikan dakwaan beliau gelojoh berikutan transformasi ‘mengejut’ yang dilakukannya terhadap The Red Warriors (TRW)  musim ini.

Sebaliknya, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata, pembaharuan yang cuba dilakukannya ketika ini adalah sebahagian proses penjenamaan semula pasukan tersebut.

Malah, katanya, penjenamaan semula TRW perlu dilakukan demi mengangkat mutu dan martabat pasukan negeri kelahirannya itu ke peringkat lebih tinggi.

“Saya bukan gelojoh atau suka-suka nak ubah stadium, jersi dan beberapa perkara lain tapi ia dilakukan dengan matlamat yang besar.

“Apabila menyentuh mengenai penjenamaan semula, ia perlu diperkukuhkan di peringkat asas supaya segala yang dirancang akan berjalan lancar,” katanya.

Usahawan kosmetik terkemuka negara itu berkata, tindakannya mengeluarkan jersi dan barangan rasmi pasukan atas jenama DSV (Datuk Seri Vida) adalah salah satu cara untuk menjana pendapatan  TRW.

“Saya cuba ikut konsep kebanyakan kelab terkemuka Eropah yang melakukan pertukaran atau pembaharuan pada jersi setiap musim.

“Saya tidak lihat pertukaran warna jersi akan menjejaskan identiti Kelantan, percayalah kita akan jadi ikon kepada pasukan lain,” katanya.

Beliau berkata, sebagai penaja utama tidak salah jika syarikatnya diberikan hak eksklusif untuk mengeluarkan produk TRW dengan jenama DSV.

Mengambil Manchester United sebagai contoh, Vida berkata, hasil penjualan jersi dan barangan rasmi kelab tersebut banyak membantu mengutip dana agar sentiasa up to date untuk pembangunan bola sepak.

“Mereka mempunyai penyokong yang ramai, jadi menerusi cara itu ia dapat menyumbang semula kepada pasukan. Oleh itu TRW perlu berani menerima penjenamaan semula ini,” katanya.

Dengan penjenamaan semula ini, Vida berkata, ia sedikit sebanyak mengubah suasana sukan bola sepak negara.

“Saya nak stadium pink ini cetus mood ceria kepada penyokong yang hadir memberikan sokongan kepada TRW. Tiada lagi istilah bola sepak untuk lelaki kerana saya yakin kaum wanita pun akan datang memeriahkan stadium ini,” katanya.

Pada Rabu, Vida mendedahkan TRW akan menyarung jersi jenama DSV yang menampilkan rekaan serta kualiti bertaraf lapan bintang bagi menghadapi aksi Liga Malaysia musim ini.

Menurut Vida, syarikat kosmetik miliknya, Vida Beauty Sdn Bhd sudah menyiapkan empat rekaan jersi yang akan disarung TRW.

Terdapat dua jersi yang akan digunakan bagi perlawanan di laman sendiri, masing-masing berwarna merah jambu dan warna tradisi Kelantan, merah.

Bagi jersi di gelanggang lawan, dua jersi turut disediakan dengan gabungan warna merah jambu dan hitam serta putih sahaja.

Syarikat Vida Beauty akan bertindak sebagai pengeluar, pengedar dan pembekal rasmi jersi dan barangan TRW di bawah jenama DSV.

Leave a Reply

Top