JOHOR BAHRU, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menyifatkan cadangan pengecualian yang dimohon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak pernah berlaku sebelum ini, dan bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966 menyebabkan pihaknya perlu perkara merujuk itu dengan Penasihat Undang-Undang.

Ketua Pengarahnya, Surayati Ibrahim, berkata mengesahkan pihaknya menerima surat permohonan PPBM pada Khamis lalu dan mendapati terdapat banyak cadangan pengecualian yang dipohon bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966 dan perlembangan parti itu sendiri.

Sehubungan itu katanya, pihaknya memerlukan masa sekurang-kurangnya seminggu untuk meneliti cadangan dan pengecualian yang dipohon parti terbabit.

“Saya sedang meneliti perkara itu (cadangan pengecualian) dengan penasihat undang (Peguam Negara) kerana ada cadangan yang diingini itu saya tidak pasti undang-undang atau Akta 1966 membolehkan pengecualian dibuat.

“Saya tak mahu cerita apa pengecualian dikehendaki (PPBM) tetapi ia membabitkan isu bagaimana hendak laksanakan AGM (Mesyuarat Agung Tahunan) dengan beberapa pengecualian, bagaimana nak pinda perlembagaan dengan pengecualian.

“Saya tidak pasti pihak saya atau jabatan boleh memberi pengecualian yang dimaksudkan oleh pihak parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Persatuan Penduduk Johor yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini hari ini.

Surayati berkata, PPBM meminta pihaknya memberi kelulusan untuk pengecualian pelbagai perkara yang terdapat dalam perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan menyebabkan pihaknya sukar untuk membuat keputusan.

“Saya tidak pasti boleh atau tidak (pengecualian) keadaan itu dibenarkan. Memang lebih sangat daripada pengecualian biasa. Itu yang sukar untuk kita menelitinya di peringkat jabatan.

“Kalau kita bincang dengan penasihat undang-undang, mungkin ada pandangan perundangan yang lain, yang kita tidak nampak di peringkat jabatan atau mungkin ada nasihat perundangan kerajaan,” katanya.

Selain itu Surayati berkata, pihaknya tidak boleh memberi pengecualian yang bertentangan dengan akta sehingga boleh menyebabkan masalah kepada ROS dan jabatan dituduh tidak mematuhi Akta Pertubuhan 1966 sendiri.

Katanya, pihaknya memerlukan masa sekurang-kurangnya seminggu untuk meneliti semua permohonan PPBM sama ada boleh atau tidak pengecualian itu dilaksanakan kerana perkara terbabit tidak selari dengan perlembagaan parti itu sendiri.

Sebelum ini ROS memaklumkan PPBM berdepan kemungkinan dibubarkan pendaftarannya oleh ROS sekiranya masih gagal menyelesaikan masalah dalamannya dan mengadakan AGM, yang kini sudah melepasi tempoh sepatutnya pada September lalu.

PPBM dikatakan gagal mengadakan AGM selepas lebih setahun didaftarkan iaitu pada 8 September 2016, susulan tidak dapat menyelesaikan masalah dalaman khususnya membabitkan penstrukturan cawangan dan bahagiannya.

Mengikut perlembagaan parti, selaras dengan Akta Pertubuhan 1967 dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, satu mesyuarat agung peringkat cawangan dan bahagian wajib diadakan selepas setahun PPBM ditubuhkan secara rasmi.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *