Anda di sini!
Utama > Terkini > PERKHIDMATAN PENGANGKUTAN AWAM DILANJUT SEMPENA TAHUN BARU

PERKHIDMATAN PENGANGKUTAN AWAM DILANJUT SEMPENA TAHUN BARU

mh online

Sempena sambutan tahun baharu 2016, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT), KL Monorel dan bas RapidKL akan melanjutkan operasi perkhidmatan pengangkutan itu di stesen terpilih esok.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Prasarana Malaysia Berhad, perkhidmatan LRT dan monorel di stesen utama dilanjut antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi manakala perkhidmatan bas akan dilanjut sehingga 2.30 pagi di laluan terpilih.

Perkhidmatan di Stesen LRT Hang Tuah dan Bandaraya bagi Laluan Ampang dan Stesen KL Monorel Hang Tuah akan dilanjut sehingga 12.30 malam; manakala perkhidmatan di Stesen LRT Masjid Jamek bagi Laluan Ampang; Stesen LRT Masjid Jamek dan KLCC bagi Laluan Kelana Jaya dan Stesen AirAsia Bukit Bintang bagi Laluan KL Monorel akan dilanjut hingga 2 pagi.

“Walaupun pintu masuk di stesen lain ditutup secara berperingkat mengikut waktu biasa operasi, penumpang LRT dan monorel di stesen utama yang terlibat, masih boleh keluar di mana-mana stesen sehingga berakhir waktu perkhidmatan lanjutan itu,” menurut kenyataan tersebut.

Perkhidmatan bas RapidKL ke Taman Sri Muda, Taman Medan, Subang Suria, Kota Damansara, Pandan Mewah, Taman Sentosa, Terminal Kajang, Taman Melawati, Taman Dato’ Senu, Taman Jasa Utama dan Puchong Utama akan dilanjutkan tempoh sehingga 2.30 pagi.

Sementara itu, perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Komuter juga akan dilanjutkan sehingga jam 1.30 pagi dengan tiga perkhidmatan tren tambahan disediakan bagi laluan KL Sentral-Rawang; Putra-Seremban dan Putra-Pelabuhan Klang.

Menurut kenyataan KTMB, lima stesen komuter yang beroperasi sehingga tren akhir tamat ialah Stesen Putra, Bank Negara, Kuala Lumpur, KL Sentral dan Bandar Tasik Selatan.

Untuk perjalanan lebih lancar penumpang dinasihatkan membeli tiket dua hala atau menggunakan kad Touch ‘n Go bagi mengelakkan kesesakan di kaunter tiket ketika waktu pulang.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top