Anda di sini!
Utama > Nasional > AS Perketat Syarat Berikutan Keganasan Di Turki

AS Perketat Syarat Berikutan Keganasan Di Turki

Kerajaan Amerika Syarikat (AS) memperketatkan syarat Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat (US VWP) berikutan situasi keselamatan semasa, terutama serangan keganasan di Eropah dan Turki.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Timbalan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat Alejandro Mayorkas semasa pertemuan mereka di pejabat Mayorkas di sini Rabu.

Beliau dimaklumkan bahawa “terdapat beberapa penambahbaikan dalam syarat-syarat statutori US VWP berikutan situasi keselamatan semasa”.

Syarat-syarat baharu ini bukan sahaja melibatkan negara baharu yang memohon untuk menyertai program itu tetapi juga negara yang telah menyertai program tersebut, katanya kepada pemberita Malaysia selepas mengadakan perjumpaan dengan Mayorkas.

Ahmad Zahid berkata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS (DHS) menyatakan kesediaan mereka membantu Malaysia bagi mencapai syarat-syarat statutori yang telah ditetapkan.

Berikutan penambahan syarat tersebut, kedudukan permohonan Malaysia ke program tersebut perlu melalui pemantauan setahun mengenai peratus penolakan permohonan visa rakyat Malaysia, berdasarkan tahun fiskal AS yang bermula 1 Okt 2016 hingga 31 Sept 2017, katanya.

Ahmad Zahid berkata pada masa ini kadar penolakan permohonan visa AS dalam kalangan rakyat Malaysia adalah 3.34 peratus, melebihi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negara berkenaan iaitu di bawah tiga peratus.

Jika kadar penolakan jumlah permohonan visa rakyat Malaysia di bawah tiga peratus sepanjang tahun fiskal tersebut, maka Malaysia dapat menyertai program itu selewat-lewatnya pada tahun 2018, katanya.

Semalam, Ahmad Zahid berkata sebab permohonan visa rakyat Malaysia ditolak adalah kerana masalah teknikal, iaitu kesalahan dalam mengisi borang permohonan.

Beliau berkata pihak DHS bagaimanapun memuji usaha dan kejayaan yang dicapai oleh Malaysia dalam memenuhi syarat-syarat statutori US VWP.

“Malaysia akan terus komited dalam memenuhi semua syarat statutori ini bagi memastikan Malaysia berjaya menyertai US VWP selewat-lewatnya pada tahun 2018,” katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau dan Mayorkas turut berbincang mengenai pengurusan bencana dan AS menawarkan templat standard operasi Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) AS bagi digunakan dalam aspek pengurusan bencana negara.

Selain tawaran templat berkenaan, AS juga bersetuju menawarkan latihan kepada pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) bagi melancarkan operasi agensi tersebut.

Beliau berkata tawaran yang dikemukakan AS itu akan digunakan oleh APBN berdasarkan keperluan dan persekitaran negara.

Ahmad Zahid berkata FEMA merupakan sebuah organisasi yang mempunyai struktur pengurusan bencana yang kemas dan telah melalui proses penambahbaikan selepas tragedi taufan Katrina di New Orleans pada 2005.

“Semua templat disediakan (FEMA) boleh digunakan dan disesuaikan dengan situasi bencana di Malaysia. Bantuan yang ditawarkan AS lebih kepada kepakaran dan teknikal terutamanya apabila berlaku bencana besar,” katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, juga berkata AS turut menjemput pegawai kanan APBN ke Atlanta pada musim panas ini bagi mengikuti kursus pengurusan tertinggi pengurusan bencana negara.

“Peluang ini perlu digunakan bagi pengurusan bencana di peringkat antarabangsa.

“Terkini, seorang pegawai APBN menyertai latihan yang dijalankan oleh FEMA di Hawaii,” katanya.

Leave a Reply

Top