Apa yang didakwa sebagai perhimpunan ‘Selamatkan Malaysia’ pada Ahad lepas, sebenarnya bukan untuk menyelamatkan Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata sekiranya hendak menyelamatkan Malaysia, Perlembagaan perlu dilindungi, bukan dicabuli, sepertimana yang mereka anjurkan bagi menyingkirkan Perdana Menteri.

“Pertama sekali, mereka hendak menyelamatkan Malaysia daripada apa atau siapa? Dan bagaimana menyingkirkan Perdana Menteri secara melanggar Perlembagaan boleh dianggap sebagai menyelamatkan Malaysia?,” kata Salleh dalam catatan terbaru beliau melalui blognya sskeruak.blogspot.my hari ini.

“Mereka berdiri di atas pentas dan menyerang apa yang dikatakan tidak ada demokrasi di Malaysia. Tetapi, apa yang tidak mereka sebut ialah hakikat bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Tun Razak membenarkan lebih banyak demokrasi di Malaysia, membolehkan mereka menganjurkan perhimpunan itu, yang mereka gunakan untuk menyerang Perdana Menteri,” katanya.

Salleh berkata perhimpunan ‘ramai rakan’ yang tidak berkongsi aspirasi dan ideal yang sama itu menunjukkan bahawa pakatan ‘Selamatkan Malaysia’ itu sudah gagal sejak mula lagi.

“Kita sudah lihat Gagasan Rakyat, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, dan kini Pakatan Harapan.

“Setakat ini, semuanya mengalami kegagalan, manakala Pakatan Harapan pula sedang bertungkus-lumus ingin membuktikan ia mampu untuk kekal wujud. Dan, sebab kesemua mereka mengalami kegagalan ialah seperti kata orang Melayu, tidur satu bantal, mimpi lain-lain,” katanya.

Menurut Salleh, kesemua yang menyertai pakatan ‘Selamatkan Malaysia’ itu tidak berkongsi cita-cita, doktrin, aspirasi atau objektif yang sama dan mereka hanya mahukan satu perkara – menyingkirkan kerajaan.

“Secara teknikal, itulah yang akan terjadi sekiranya anda menyingkirkan Perdana Menteri,” katanya.

Salleh berkata kumpulan itu tidak akan sekali-kali bersetuju antara satu sama lain kerana setiap rakan dalam pakatan ‘Selamatkan Malaysia’ itu mempunyai pandangan sendiri mengenai siapakah yang akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri baharu sekiranya rancangan mereka itu berjaya.

“Dan adakah kempen ‘Selamatkan Malaysia’ itu termasuk atau tidak termasuk membebaskan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dari penjara? Dr Wan Azizah Wan Ismail (isteri Anwar dan Presiden PKR) berkata ya, tetapi semua yang lain tidak berkata apa-apa,” katanya.

Salleh berkata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya muncul sebagai Ketua Pembangkang de facto baharu serta mengetuai ‘Kempen Anti-Najib’ atau ‘Kempen Selamatkan Malaysia’.

“Kesemua yang lain kelihatan memberi kelulusan secara tersirat terhadap peranan kepimpinan dimainkan Mahathir apabila mereka tidak menamakan mana-mana pemimpin lain,” katanya.

Salleh berkata Dr Mahathir tahu bahawa Najib hanya boleh disingkirkan sekiranya UMNO sendiri tidak mahukan beliau lagi.

Menurut menteri itu, Dr Mahathir sendiri mengaku bahawa Najib tidak boleh disingkirkan dari luar, maka oleh yang demikian, bekas Perdana Menteri itu berharap kempen ‘Selamatkan Malaysia’ itu akan membuktikan ia mendapat sokongan daripada rakyat dan dengan itu, akan memperoleh sokongan UMNO.

“Sebaliknya, UMNO amat marah kepada Mahathir dan oleh kerana itu, UMNO bersatu di belakang Najib. Jadi, langkah Mahathir benar-benar memakan dirinya sendiri,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *