Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Perhimpunan ‘Rakyat Malaysia tolak RUU Hadi’ Pindah Ke PJ

Perhimpunan ‘Rakyat Malaysia tolak RUU Hadi’ Pindah Ke PJ

Penganjur perhimpunan ‘Rakyat Malaysia tolak RUU Hadi’ yang pada mulanya memilih Padang Merbok untuk berkumpul pada 18 Februari ini akan berpindah ke lokasi lain.

Keputusan itu dibuat susulan kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada PAS untuk menganjurkan Himpunan RUU 355 di Padang Merbok pada hari sama.

Perhimpunan balas itu bagi memprotes rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibentang Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Dikendalikan badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Bebas, penganjurnya memilih Padang Timur di Dataran Petaling Jaya, berhampiran pusat beli-belah Amcorp Mall untuk mengadakan perhimpunan pada hari sama.

Bebas juga terkejut dengan keputusan DBKL memberi kelulusan kepada PAS untuk menggunakan lokasi asal mereka berhimpun.

“Ia menunjukkan keinginan PAS untuk mencetuskan kekecohan dan menakut-nakutkan rakyat Malaysia yang ingin menyuarakan bantahan mereka terhadap RUU 355 secara aman.

“Memandangkan Bebas tidak berminat berkonfrontasi dengan PAS, kami memutuskan berpindah ke lokasi lain. Kami sudah maklumkan kepada polis, seperti diperuntukkan undang-undang,” kata ahli NGO itu, Azrul Mohd Khalib dalam kenyataan, Rabu.

Pada pagi Rabu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz memaklumkan persetujuan untuk PAS menggunakan Padang Merbok.

“Permohonan ini dipersetujui memandangkan Taman Tasik Titiwangsa terlibat dengan kerja naik taraf untuk (projek) ‘River of Life’ yang tidak membenarkan sebarang aktiviti besar diadakan.

“DBKL tiada masalah dengan permohonan pihak penganjur untuk menggunakan Padang Merbok sebagai tempat perhimpunan dengan syarat mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

 

Leave a Reply

Top