Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Perbaiki Perkhidmatan Untuk Bersaing Dengan Grabcar, Uber – Tengku Adnan

Perbaiki Perkhidmatan Untuk Bersaing Dengan Grabcar, Uber – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, Pemandu perkhidmatan teksi awam perlu menambah baik perkhidmatan untuk membolehkan mereka bersaing dengan perkhidmatan teksi dalam talian seperti Grabcar dan Uber, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata banyak sungutan diterima daripada rakyat dan pelancong tentang perkhidmatan tidak berkualiti pengusaha teksi, yang sekali gus menyebabkan mereka memilih perkhdmatan teksi alternatif.

“Orang kecewa dengan tambang tinggi yang dikenakan pemandu teksi serta sikap pemandu teksi yang suka memilih laluan sendiri dan tiadanya kebersihan. Mungkin, inilah sebabnya orang menggunakan Uber dan Grabcar,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Harmoni Perkasa Sdn Bhd dan Banyan Tree Hotels and Resort di sini, pada rabu.

Semalam, kira-kira 300 pemandu teksi mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah perkhidmatan teksi dalam talian dan mengakibatkan kesesakan selama dua jam di sepanjang Jalan Bukit Bintang.

Dalam kejadian itu, lima pemandu teksi ditahan kerana tidak mematuhi amaran polis.

Pemandu teksi terlibat meletakkan kenderaan mereka di sekitar pusat beli-belah Pavilion dan memaksa polis melencongkan lalu lintas dari kawasan itu.

Tengku Adnan berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak mempunyai kuasa terhadap pemandu teksi kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD).

Terdahulu, Harmoni Perkasa Sdn Bhd dan Banyan Tree Hotels and Resorts menandatangani perjanjian pengurusan bagi hotel lima bintang baharunya, Royale Pavilion Hotel di kawasan Segi Tiga Emas Kuala Lumpur.

Dibangunkan dengan kos RM330 juta, hotel itu dijangka memulakan operasinya menjelang suku kedua 2017.

Leave a Reply

Top