Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Perak Laksana Modul, Kod Etika Berkaitan Takmir

Perak Laksana Modul, Kod Etika Berkaitan Takmir

Perak menjadi negeri pertama yang melaksanakan Modul Kokurikulum Kelas Pengajian Takmir Masjid dan Surau serta Kod Etika Guru Takmir di semua masjid dan surau.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin berkata modul dan kod etika itu akan dilaksanakan awal tahun depan.

Katanya modul itu bertujuan mentransformasi sistem pendidikan Islam dengan menggunakan sukatan pelajaran lebih sistematik seperti audio visual serta pemacu simpanan data mudah alih berbanding kitab pada masa ini.

“Antara kandungan modul itu ialah Fiqah, Sirah, Tauhid, Tafsir, Tasawuf serta Akhlak dan dilasanakan mengikut sistem dan diajar dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di di sini, hari ini.

Mengenai Kod Etika Guru Takmir, Mohd Yusop berkata tujuh teras digariskan kepada 386 guru takmir di seluruh negeri ini termasuk yang membabitkan pakaian, profesionalisme, pembelajaran, tingkah laku dan masa.

Beliau berkata pelaksanaan etika itu penting agar para guru takmir tidak melakukan perkara yang negatif dan lari daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Terdahulu, Sultan Nazrin Shah berkenan melancarkan modul dan etika berkenaan selain menyampaikan 27 anugerah kecemerlangan dan 38 penerima Sijil Pengajian Masjid.

Baginda turut berkenan menyampaikan penghargaan kepada 25 tahfiz muda terdiri daripada 18 hafiz dan tujuh hafizah yang berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran.

Leave a Reply

Top