MELAKA, Perbincangan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di negara ini antara kerajaan Malaysia dengan Arab Saudi kini berada pada fasa 60 peratus dan ia dijangka dilaksanakan dalam masa dua bulan lagi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerjasama baik antara kedua-dua negara dalam membincang dan memperhalusi segala aspek mengenai penubuhan KSCIP berjalan lancar.

“Kita juga telah mengenal pasti lokasi seluas 9.7 hektar di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) (di Nilai) bagi pusat itu yang secara umumnya dipersetujui Arab Saudi,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan Majlis Penyampaian Anugerah Kepada Pelajar Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, wakil kerajaan Arab Saudi dijangka berkunjung ke negara ini pada minggu hadapan bagi memperhalusi perbincangan penubuhan pusat berkenaan.

Asyraf Wajdi berkata, penubuhan pusat keamanan itu termasuk mempromosikan keamanan sejagat dengan membawa model Malaysia sebagai negara yang berpaksikan pada konsep wasatiah dalam menangani ideologi songsang yang menjurus kepada keganasan.

“Arab Saudi melihat Malaysia sebagai negara contoh dan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengguna pakai pendekatan wasatiah semakin diterima masyarakat antarabangsa.

“Ini menarik minat beberapa negara untuk menjalin kerjasama menerusi KSCIP termasuk Amerika Syarikat, China, Qatar, Bahrain, Pakistan, Turki dan Indonesia,” katanya.

KSCIP diilhamkan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan idea ini disampaikan semasa lawatan rasminya ke negara ini awal Mac lalu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *