Anda di sini!
Utama > Belia > Pensyarah UIAM Terima Anugerah Raja Faisal 2018

Pensyarah UIAM Terima Anugerah Raja Faisal 2018

KUALA LUMPUR, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Irwandi Jaswir menerima anugerah Hadiah Antarabangsa Raja Faisal 2018 atas sumbangannya dalam Islam, menerusi bidang sains.

Menurut kenyataan UIAM di sini hari ini, anugerah tersebut adalah daripada Yayasan Raja Faisal bawah naungan kerajaan Arab Saudi dan ia diumumkan oleh jawatankuasa pemilihan Hadiah Antarabangsa Raja Faisal 2018, semalam.

Irwandi, 48, yang juga Timbalan Dekan (Akademik, Penerbitan dan Penyelidikan) Institut Antarabangsa Penyelidikan dan Latihan Halal (INHART) UIAM itu sememangnya dikenali dalam bidang penyelidikan halal yang merangkumi sektor perkhidmatan, makanan dan barangan kepenggunaan.

“Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi untuk sumbangan beliau melalui UIAM dalam bidang Teknologi dan Pembangunan Sains Halal.

“Kajian yang dilakukan oleh Irwandi dan pasukannya telah menghasilkan kit mudah alih yang dapat mengesan bahan bukan halal dalam makanan, kosmetik dan barang kepenggunaan bagi melindungi kepentingan pengguna Islam, ” menurut kenyataan itu.

Kit tersebut dapat mengenal pasti dan mengesan dalam beberapa saat akan kehadiran bahan alkohol dan lemak babi (lemak berasas procine) dalam makanan dan minuman.

Sementara itu, Irwandi yang berasal dari Medan, Indonesia berkata beliau amat terkejut dan bersyukur kerana sumbangan dan penyelidikannya mendapat pengiktirafan.

Beliau yang juga pernah menerima Anugerah Habibie daripada kerajaan Indonesia pada 2013 dalam bidang perubatan dan bioteknologi, turut berterima kasih kepada semua pihak atas kejayaan itu.

Hadiah Antarabangsa Raja Faisal adalah pengiktirafan yang diberikan setiap tahun kepada mereka yang banyak memberi sumbangan dan impak kepada dunia Islam.

Raja Salman Raja Abdul Aziz Al-Saud dijangka akan menyampaikan anugerah tersebut dalam satu majlis tidak lama lagi.

Leave a Reply

Top