IPOH, Seorang penolong akauntan jabatan kerajaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan menyalahguna Peruntukan Kecil Kerajaan Negeri Perak Bagi Belanjawan Tahun 2015 keseluruhan berjumlah RM11,108 dua tahun lalu.

Tertuduh, Noor Faezah Mohd, 34, yang berjawatan Penolong Akauntan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak ketika kesalahan dilakukan, didakwa dengan curang menyalahgunakan peruntukan kecil itu dengan membuat kelulusan pembayaran tiga Baucar Bayaran ke akaun syarikat Sricomp Solutions tanpa pengetahuan Ketua Jabatannya, Penolong Pengarah Kanan JKR Cawangan Mekanikal Perak, Ahmad Fikri Mohamed Omar.

Kesalahan pertama membabitkan kelulusan pembayaran Baucar Bayaran Bernombor V0000831 berjumlah RM3,240; kedua Baucar Bayaran Bernombor V0000910 berjumlah RM3,868 dan ketiga Baucar Bayaran Bernombor V0000960 berjumlah RM4,000.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Cawangan Mekanikal, JKR, Lorong Lahad di sini iaitu pada 26 dan 30 Jun serta 8 Julai tahun 2015.

Bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (KK), yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Tertuduh yang memakai baju kurung Melayu dan kini bertugas sebagai Penolong Akauntan Hospital Taiping bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dirinya dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Indera Nehru kemudian menetapkan kes itu disebut semula pada 23 Oktober ini dan membenarkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM20,000 bersama seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga terdekat bagi ketiga-tiga pertuduhan berkenaan.

Terdahulu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin, memohon mahkamah menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu supaya mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu dengan alasan hanya mempunyai RM5,000 selain perlu menjaga kedua ibu bapanya yang sakit.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *