Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Penjawat Awam Wajib Patuh Arahan Kerajaan Pusat

Penjawat Awam Wajib Patuh Arahan Kerajaan Pusat

Penjawat awam, terutama golongan guru perlu mengikut arahan kerajaan persekutuan walaupun berada di bawah pentadbiran pembangkang.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, penjawat awam boleh berpolitik tetapi tidak digalakkan aktif sehingga memikul peranan penting seperti menjawat jawatan ahli jawatankuasa (AJK) parti dan sebagainya.

 Justeru, arahan yang dibuat menteri pendidikan baru-baru ini begitu ironi.

Menurutnya, jika ada kalangan penjawat awam berhasrat aktif berpolitik, dinasihatkan supaya mereka menjadi ahli biasa.

“Kalau aktif sangat nampak tidak neutral. Rakyat pun risau untuk berurusan dengan golongan seperti ini.

“Yang penting mereka taat pada kerajaan semasa, termasuk kerajaan pembangkang di negeri mereka bekerja. Sekiranya aktif berpolitik dikhuatiri timbul isu didiskriminasikan pula,” katanya.

Baru-baru ini, arahan tegas dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menggesa supaya guru aktif berkempen mengutuk kerajaan berhenti daripada perkhidmatan.

Beliau memberitahu, lima guru diberi surat tunjuk sebab oleh Kementerian Pendidikan berikutan didakwa aktif berpolitik dan menghentam kerajaan di pentas pembangkang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi penjawat awam yang berada di negeri pembangkang, tanggungjawab sama. Taat pada kerajaan negeri.

“Cuma isunya akan timbul apabila penjawat awam persekutuan berkhidmat di negeri pembangkang. Mereka kena ikut arahan persekutuan.

“Di sinilah mereka akan berbelah-bagi, sama ada kena ikut negeri, ke nak ikut persekutuan. Pada saya, kalau negeri itu diperintah oleh BN, penjawat awam akan ikut arahan negeri. Jadi prinsip yang sama terpakai jika mereka di negeri pembangkang,” katanya.

Menurutnya, penjawat awam yang berada di negeri pimpinan pembangkang tidak boleh bersikap lebih sudu dari kuah,  tetapi undang-undang juga harus berlaku adil kepada mereka, agar tidak timbul konflik arahan negeri dan persekutuan.

“Penjawat awam khasnya guru elakkan aktif berpolitik dan berbincang isu politik di dalam dan luar sekolah. Kepada mereka yang telah terlibat sebagai ketua cawangan atau orang penting dalam parti, hentikanlah,” katanya.

Leave a Reply

Top