Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pengusaha Resort Disaran Ambil Inisiatif Promosi Pusat Peranginan

Pengusaha Resort Disaran Ambil Inisiatif Promosi Pusat Peranginan

mh online

Pengusaha pusat peranginan atau resort di Pahang disaran mengambil inisiatif sendiri untuk mempromosikan perusahaan mereka tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata pengusaha resort perlu bijak mengambil peluang seperti penganjuran acara sukan yang dapat menarik kehadiran ramai pengunjung.

Sebagai contoh, beliau berkata, acara seperti sukan Sungai Lembing Mad Warrior Persona Adventure Camp Sungai Lembing anjuran Xcape Resort Sdn Bhd yang disertai 600 peserta dari seluruh negara.

“Mereka datang kepada kita memberikan cadangan acara ini. Kerajaan negeri tidak memberi sebarang peruntukan, tetapi kita membantu menyediakan kemudahan seperti keselamatan, kesihatan dan pemasangan alatan seperti khemah.

“Saya harap lebih ramai pengusaha resort dan pengurus acara dapat mencontohi sikap ini. Kita mengalu-alukan mereka menghubungi Tourism Pahang jika ada idea,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta larian itu di sini, Ahad.

Turut hadir, Pengurus Besar Tourism Pahang Datuk Ishak Mokhtar, Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Idros Yahaya dan Pengarah Xcape Resort Datuk See Sai Hong.

Mengulas mengenai larian berkenaan, Mohd Sharkar berkata ia merupakan program baharu kalendar pelancongan Pahang dan akan dijadikan sebagai sebahagian kalendar Tahun Melawat Pahang 2017.

Acara itu memberi pengalaman baharu kepada peserta yang perlu melalui laluan sepanjang 12.4 kilometer dengan 24 halangan fikzikal seperti meredah hutan, meniti jambatan gantung, meredah arus sungai dan kawasan berbukit, katanya.

Acara yang terbuka kepada pelbagai peringkat umur atas 16 tahun itu juga berperanan mempromosikan Sungai Lembing yang terkenal sebagai lokasi perlombongan kepada masyarakat luar.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top