Seorang pengurus besar sebuah agensi kerajaan direman tujuh hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kes menyalahgunakan kedudukannya untuk memberikan lebih 50 projek bernilai hampir RM1 juta kepada dua syarikat milik isterinya.

Menurut agensi berita Bernama, Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman suspek berusia 62 tahun itu sehingga 22 Februari.

Lelaki itu yang memakai baju lokap berwarna jingga dengan tangan bergari tiba di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.40 pagi dan akan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Suspek ditangkap menerusi satu operasi yang dilancarkan SPRM pada jam 11 pagi semalam, di Selangor.

Di luar mahkamah, SPRM memberitahu media bahawa suspek yang ditangkap di pejabatnya berhubung kes menyalahgunakan kedudukannya sejak memegang jawatan sebagai timbalan pengurus besar di agensi kerajaan itu dari tahun 2014 hingga 2016, sebelum dilantik sebagai pengurus besar pada September tahun lepas.

Turut ditangkap dalam operasi tersebut ialah isterinya yang berusia 38 tahun, bagaimanapun wanita itu dibebaskan selepas percakapannya dirakam oleh SPRM berhubung siasatan kes tersebut petang semalam.

SPRM berkata pihaknya telah merampas beberapa dokumen-dokumen yang melibatkan pemberian kerja-kerja kepada syarikat isteri beliau untuk tujuan siasatan.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *