Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyifatkan pengorbanan dan kejayaan adalah ibarat ‘isi dengan kuku’, dengan kedua-duanya saling memerlukan satu sama lain.

Beliau berkata pengorbanan menghasilkan kejayaan yang menggembirakan dan itulah yang dikecapi rakyat Malaysia baru-baru menerusi temasya Sukan SEA Ke-29, sambutan Hari Kebangsaan 2017 dan perayaan Aidiladha.

“Kegembiraan pertama adalah apabila kita bukan sahaja dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi edisi ke-29 Sukan SEA dengan pencapaian pungutan emas melangkaui sasaran, bahkan kita juga telah berjaya menganjurkan dan menjadi tuan rumah kepada temasya Sukan SEA yang cukup hebat, terutamanya upacara pembukaan dan penutup yang pada amatan saya bertaraf dunia.

“Syabas kepada semua atlet atas prestasi hebat mereka, sama ada mereka memenangi emas, perak, gangsa ataupun tidak, kesemua mereka layak dijulang dan diraikan atas komitmen dan semangat #BangkitBersama yang ditunjukkan.

“Insya-Allah, saya yakin berdasarkan apa yang dipaparkan sepanjang temasya Sukan SEA kali ini, masa depan sukan kita akan cemerlang,” kata Najib dalam catatan bertajuk ‘Pengorbanan dan Kejayaan’ dalam blog beliau www.najibrazak.com.

Perdana Menteri berkata kegembiraan kedua adalah meraikan detik kemerdekaan ke-60 tahun negara dengan sambutan di Dataran Merdeka yang mengimbas kembali detik bersejarah 1957, lengkap dengan perarakan dan persembahan seperti kita berada di Stadium Merdeka saat pertama laungan ?Merdeka!’ bergema di bumi Malaysia.

“Lebih manis lagi, dua insan yang menaikkan Jalur Gemilang buat pertama kalinya pada 31 Ogos 1957, kita jemput kembali untuk sekali lagi menaikkan bendera Malaysia…60 tahun berlalu, kita telah menghadapi pelbagai cabaran dan mengecapi banyak kejayaan, kesemuanya berjaya kita harungi dan nikmati kerana kita kekal bersatu hati,” kata beliau.

Najib berkata kegembiraan ketiga adalah apabila umat Islam menyambut Aidiladha, perayaan yang membawa seribu satu pengertian dan makna buat umat Islam serata dunia.

Intipati utama sambutan Aidiladha adalah mengenai pengajaran di sebalik sirah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail serta pengorbanan mereka dan bagaimana ia kemudiannya dibalas dengan ganjaran berganda oleh Allah SWT, kata beliau.

Perdana Menteri berkata pengertian pengorbanan mungkin berbeza bagi setiap insan.

“Misalnya, para atlet yang bertanding di Sukan SEA baru-baru ini, berkorban tenaga dan keringat demi menjulang nama Malaysia dalam sukan, manakala sambutan kemerdekaan ke-60 tahun negara tidak mungkin dapat kita raikan tanpa pengorbanan para perajurit dan mereka yang terdahulu daripada kita.

“Hasil pengorbanan, kita berjaya mengecapi kejayaan, dalam Sukan SEA, sebagai sebuah negara yang merdeka dan bermacam lagi. Pengorbanan dan kejayaan itu ibarat isi dengan kuku, ia tidak akan datang tanpa yang lagi satu.

“Insya-Allah, selagi mana Malaysia terus mempunyai rakyatnya yang sanggup berkorban dari sekecil-kecil pengorbanan di peringkat peribadi hinggalah kesanggupan berkorban nyawa demi negara tercinta, saya yakin dan percaya kita akan terus berada di landasan yang tepat menuju impian Malaysia berjaya.

“Inilah pengertian pengorbanan dan kejayaan yang sebenarnya,” kata Najib.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *