Anda di sini!
Utama > Terkini > PENGGIAT SENI PERLU HASIL PUISI RELEVEN – TPM

PENGGIAT SENI PERLU HASIL PUISI RELEVEN – TPM

mh online

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyarankan agar penggiat seni menghasilkan puisi yang relevan yang menggabungkan aspek futuristik dengan zaman lampau.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana generasi Y dan generasi X tidak lagi menyukai puisi sebagai seni, sebaliknya hanya meminati puisi jika ia relevan.

“Seni itu adalah sesuatu yang harus mencerminkan situasi setempat dan alam yang merangkumi kehidupan kita. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

“Karya agung di negara luar, generasi dibentuk untuk memberikan apresiasi yang tinggi kepada pencipta.

“Kita jangan tenggelam dalam kepompong kecil. Orang seni harus berpijak di bumi nyata, menjadi molekul penting dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (Pulara) Pangkor Ke-6 di Arena Pulau Pangkor di sini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkipli, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan beberapa anggota exco kerajaan negeri.

Ahmad Zahid berkata menerusi penganjuran Pulara ini, ia bukan hanya menarik para pencinta puisi malah turut meningkatkan ekonomi kawasan itu.

“Pulau Pangkor bukan hanya untuk bernostalgia pada setiap tahun, musim ini tidak mudah untuk menggamit pencinta puisi, nilai ekonomi turut membantu kepada program ini,” katanya.

Beliau berkata munasabah untuknya membantu dalam menyalurkan peruntukan untuk program itu agar tidak membebankan kerajaan negeri.

“Biar saya tidak sebut angka kerana ia subjektif, tapi biarlah saya berikan satu pertiga atau setengah dari kos (penganjuran). Mesti MB (Menteri Besar) senang hati untuk menarik rakan-rakan luar negara ke sini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata Pulara 6 memberikan kebersamaan dan kepelbagaian latar belakang dan budaya rakyat.

“Saya kagum bahawa sesungguhnya dokongan bukan hanya datang dari pencinta seni tapi seluruh rakyat Pangkor dari pelbagai latar belakang budaya,” katanya.

Pada majlis tersebut, Ahmad Zahid dan Zambry masing-masing mendeklamasi sebuah puisi.

Para penonton juga dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu rakyat.

Festival itu yang bermula 3 Dis melibatkan penyertaan kira-kira 300 sasterawan dari dalam dan luar negara termasuk Indonesia, Brunei dan Singapura.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top