Dalam membendung keganasan, terdapat keperluan untuk menghalang para pengganas daripada mendapatkan dana dan bantuan kewangan daripada mana-mana pihak, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka juga perlu dihalang daripada mengendalikan bahan letupan, pembuatan bom dan senjata api.

“Akhir sekali dan tidak kurang pentingnya, kita mesti menghalang mereka daripada mempunyai akses kepada Improvised Explosive Device (IED) (peranti letupan diubah suai), dan mana-mana komponen yang berkaitan nuklear,” katanya.

Ahmad Zahid dalam ucapannya mengenai keganasan, pelampau dan deradikalisasi dalam sesi “Perbualan dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia” dengan pelajar dari universiti-universiti Amerika pada Sabtu, di sini berkata Malaysia telah mengambil tiga langkah utama dalam perjuangan menentang keganasan.

Program ini dikendalikan Prof Amitav Acharya, profesor hubungan antarabangsa universiti itu yang berkhidmat sebagai pengerusi Pusat Pengajian ASEAN di universiti itu.

Satu lagi isu penting yang perlu ditangani segera ialah penggunaan media sosial dalam menyebarkan ideologi Daesh dalam kalangan masyarakat, kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

Oleh itu, dalam menangani isu ini, kerajaan Malaysia bersama-sama dengan rakan kongsi antarabangsanya termasuk Amerika Syarikat telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi dengan tujuan menjalankan pendekatan Memerangi Secara Naratif untuk mengelakkan Daesh daripada menyebarkan ideologinya, maklumat palsu dan merekrut anggota baharu, katanya.

Ahmad Zahid berkata: “Kita perlu memecahkan momentum kumpulan itu, dan akhir sekali sokongannya. Matlamat kami bukan untuk menghalang atau menbendung Daesh tetapi untuk mengalahkan dan memusnahkan Daesh,” katanya.

Bagi memastikan bahawa Malaysia boleh mencapai kemenangan ke atas pemimpin dan rangkaian pengganas, wujud keperluan untuk meneruskan strategi memerangi keganasan secara menyeluruh, katanya.

“Sesuatu yang memahat misi bersama kita ke atas Daesh dalam perjuangan yang lebih luas terhadap jihad radikal yang lebih besar daripada mana-mana satu kumpulan, sama ada alQaeda atau ISIS atau rangkaian lain yang sama,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, dunia sedang menghadapi perang secara langsung terhadap “satu musuh yang dikongsi dan perjuangan generasi ke atas ideologi yang berakar umbi dan tidak akan mudah dikikis.

“Keghairahan itu timbul kerana terlalu berpegang teguh dan kesetiaan yang tidak berpandangan jauh kepada satu misi di mana banyak militan ini tidak memahami sepenuhnya, namun mereka masih mengabadikan diri secara membuta tuli.

“Saya percaya ia adalah satu keghairahan – wadah emosi yang amat besar dalam radikal dan ekstremis – yang kita perlu kenal pasti dan tangani,” katanya.

Ahmad Zahid berkata negara-negara tidak seharusnya hanya melabur dan memperuntukkan sebahagian besar daripada belanjawan mereka untuk operasi memerangi keganasan.

Mereka juga perlu melabur dalam program pemulihan yang tidak berbahaya dan deradikalisasi semula, katanya.

“Menangani keganasan dan ekstremisme akan menjadi satu daripada isu pada masa kita sekarang. Ia hanya akan dapat dicapai sekiranya kita bersedia untuk melibatkan diri secara konstruktif antara satu sama lain, dan untuk mengekalkan keamanan bagi menggantikan konflik,” katanya.

Beliau berkata menangani keganasan dan ekstremisme adalah satu usaha kolektif dan Malaysia percaya bahawa kerjasama antarabangsa dan perpaduan adalah penting dalam memastikan kejayaannya.

Ahmad Zahid, yang menerima tepukan sanjungan sambil berdiri daripada pelajar universiti itu juga menjawab soalan peserta yang kebanyakannya menyentuh usaha Malaysia membendung keganasan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *