Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pengganas Mahu Bentuk Kesultanan Sulu Di Sabah – TPM

Pengganas Mahu Bentuk Kesultanan Sulu Di Sabah – TPM

mh online

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan bahawa pengganas Sulu telah melantik ‘panglima’ di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah dalam usaha membentuk semula kesultanan Sulu di negeri itu.

Beliau berkata maklumat itu diperoleh daripada soal siasat terhadap enam tali barut pengganas Sulu yang ditahan pihak keselamatan di Sabah selain bahan-bahan bukti seperti pemacu pena dan dokumen-dokumen.

“Siasatan yang dilakukan mendapati Kesultanan Sulu melantik panglima bagi setiap kawasan DUN di Sabah dan mereka berhasrat membentuk semula Kesultanan Sulu untuk memerintah Sabah.

“Jadi, jangan nak pandang enteng apa yang nak dilakukan oleh pengganas Sulu ini,” katanya semasa menggulung usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini, pada isnin.

Justeru itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata rakyat tidak harus memandang ringan ancaman pengganas terhadap keselamatan negara.

“Ancaman keselamatan yang dihadapi negara adalah benar dan nyata. Dengan kecekapan pasukan keselamatan kita, tahap ancaman adalah terkawal daripada anasir pengganas di dalam dan luar negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata sejak 2014 hingga Februari lepas, sebanyak 649 program meningkatkan kesedaran terhadap ancaman keganasan dijalankan oleh PDRM dengan pelbagai pihak termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat setempat dan parti politik.

“Melihat kepada trend semasa ancaman Daesh yang semakin membimbangkan, program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan memperluaskan lagi kumpulan sasar,” katanya.

Leave a Reply

Top