Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pengambilan Pekerja Asing Baharu Tidak Dibenarkan

Pengambilan Pekerja Asing Baharu Tidak Dibenarkan

mh online

Kerajaan telah menetapkan tidak akan mengambil pekerja asing baharu untuk dibawa masuk ke negara ini berkuat kuasa serta-merta, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, beliau berkata ketetapan yang dibuat pada mesyuarat Kabinet semalam itu tidak melibatkan sektor pembantu rumah.

Katanya mana-mana majikan yang mahu menggaji pekerja asing hendaklah mengambil pekerja sedia ada di negara ini termasuk mereka yang telah tamat tempoh visa pekerjaan.

“Selain itu, mereka juga boleh mengambil pekerja asing yang tidak berdokumen atau yang tidak didaftarkan di bawah Program 6P (Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin),” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan watikah pelantikan ketua-ketua kampung kawasan Parlimen Bagan Datoh sesi 2016-2017 di sini hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata susulan keputusan Kabinet itu, isu membawa masuk seramai 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh boleh dianggap ‘tutup’.

Pada 25 Jun lalu, Ahmad Zahid berkata sebanyak 1.5 juta pekerja dari Bangladesh akan dibawa ke Malaysia secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi memenuhi permintaan majikan daripada pelbagai sektor.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan mana-mana majikan atau ejen yang didapati melindungi pekerja asing tanpa izin akan dikenakan hukuman sebat berkuat kuasa serta-merta.

Hukuman sebat itu dibuat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63, katanya.

“Harus diingatkan hukuman sebat akan dijatuhkan mahkamah kerana hukuman cara denda tidak memberi kesan kerana majikan serta ejen-ejen terus membawa masuk pekerja asing tanpa izin ini,” katanya.

Menjelas lanjut Ahmad Zahid berkata hukuman sebat itu juga bertujuan membersihkan imej kerajaan yang selama ini dituduh cuba mengaut keuntungan dengan membawa masuk pekerja asing.

“Ini merupakan amaran terakhir, jangan salahkan kerajaan…menuduh kerajaan kononnya membawa lebih daripada dua juta pekerja tanpa izin,” katanya.

Beliau berkata kerajaan telah memberi ruang dan peluang yang secukupnya kepada majikan untuk mendaftarkan pekerja asing mereka menerusi program penggajian semula yang akan berakhir 30 Jun ini.

“Walaupun Kementerian Dalam Negeri mengumumkan ia (program penggajian semula) akan berakhir 31 Dis ini, tetapi kerajaan memutuskan tempoh itu dipendekkan,” katanya.

Ahmad Zahid menyarankan mana-mana majikan yang mahu mendapatkan khidmat pekerja asing mengemukakan permintaan itu kepada Persekutuan Majikan-majikan Malaysia, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia.

“Sila berhubung terus dengan ketiga-tiga persatuan itu bagi memudahkan mereka menguruskan pekerja tempatan untuk bekerja di syarikat masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya mengingatkan semua ketua kampung bahawa pelantikan mereka bukan satu hadiah, sebaliknya amanah yang perlu dilaksanakan demi rakyat.

“Kalau kita melanggar etika itu, kita perlu membayar harga yang tinggi untuk kesilapan tersebut,” katanya.

Leave a Reply

Top