Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Penerbangan Ihsan JPBM Bantu Orang Asli

Penerbangan Ihsan JPBM Bantu Orang Asli

GUA MUSANG, Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan dua penerbangan ihsan bagi membawa dua pesakit Orang Asli yang tinggal di pedalaman jajahan ini ke Hospital Gua Musang (HGM), petang semalam.

Pegawai Perhubungan Awam, Pangkalan Udara Subang, Penolong Penguasa Mohd Farhan Marzuki berkata dua helikopter digunakan bagi tujuan menyelamatkan dua pesakit di Kampung Tandrik di Pos Bihai dan Kampung Sedal, Pos Simpor di sini.

Beliau berkata penerbangan pertama menggunakan helikopter jenis Agusta A109E dilakukan pada 3.15 petang bagi memindahkan Lenagi Asop, 25, yang hampir bersalin di Kampung Tandrik.

“Manakala penerbangan kedua menggunakan helikopter jenis Agusta A139 pula dilakukan pada 4 petang bagi menyelamatkan seorang bayi, Rohan Andok, berusia enam bulan yang demam panas di Kampung Sedal.

“Dua helikopter yang membawa kedua-dua pesakit itu kemudian mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang sebelum dikejarkan ke HGM untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata operasi menyelamat menggunakan helikopter itu merupakan penerbangan pertama JBPM pada tahun ini berikutan kedua-dua kampung yang terputus hubungan jalan darat.

Katanya sepanjang tahun lepas terdapat lebih 20 penerbangan ihsan dilakukan di kawasan pedalaman Gua Musang disebabkan masalah perhubungan jalan darat.

Leave a Reply

Top