KUALA NERUS, Seorang nenek tidak menyangka impiannya untuk memiliki rumah sendiri akan tercapai setelah lebih 50 tahun tinggal di atas tanah milik kerajaan.

Zainah Ali, 77, berkata paling menggembirakan hatinya apabila diberitahu rumah itu nanti bukanlah rumah pangsa kerana dia sangat takut dengan ketinggian.

“Tok tak mboh (tak mahu) duduk rumah tinggi sebab seriau (gayat ketinggian). Biarlah rumah kecik pun, asalkan atas tanah. Suka sangatlah tok ni dapat duduk rumah baru tahun depan. Terima kasih banyoklah  (banyak) kepada kerajaan kita ni,” katanya.

Warga emas itu adalah antara generasi pertama yang tinggal di perkampungan setinggan  Lembah Harapan di Seberang Takir, sejak 50 tahun lalu.

23 keluarga yang tinggal di kawasan setinggan itu menerima bantuan sara diri dari Syarikat Air Terengganu (SATU) sebanyak RM2,000 setiap keluarga sebagai bantuan perpindahan untuk mereka bagi memberi laluan pembinaan rumah baharu dilaksanakan.

Kegembiraan sama turut dikongsi seorang ibu tunggal, Rokiah Che Long, 64, yang sudah tidak sabar-sabar mahu tinggal di rumah baharu iaitu rumah teres melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang disediakan percuma oleh kerajaan negeri.

“Makcik duduk di kawasan setinggan itu sejak 43 tahun lalu. Sejak dengar ura-ura kerajaan negeri nak bantu penduduk dapatkan status milik yang sah, mak cik gembira sangat sebab mahukan masa depan yang lebih terjamin untuk anak-anak.”

“Tak sangka pula, Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman) tunaikan janji dengan cepat. Sekarang ni makcik dah kosongkan rumah, tinggal menyewa di Kampung Telaga Daing.”

“Sewa rumah tu RM300 sebulan, tapi syukur Alhamdulillah sebab dapat pula bantuan RM2,000 hari ni, dapatlah makcik gunakan untuk belanja kami sekeluarga dengan wang itu,” katanya.

Bagi seorang lagi penduduk, Norliha Yusoff, 52, beliau masih belum dapat mengosongkan rumah sepenuhnya disebabkan beberapa kekangan berikutan suaminya, Che Umar Che Yatim, 59, menghidap penyakit Parkinson.

“Makcik sekarang tinggal menyewa RM400 sebulan di Kampung Telaga Daing. Memang agak payah nak kosongkan rumah sepenuhnya sebab suami sakit, perlu diusung ke sana sini.”

Dapat rumah baharu nanti, bolehlah kami sekeluarga tinggal dengan lebih selesa. “Memang tak pernah termimpi nak dapat rumah baharu. Syukurlah kerana nasib kami ini mendapat pembelaan dari kerajaan negeri,” katanya.

Ketika ini, projek pembinaan rumah berkenaan yang bernilai RM40,000 seunit sudah pun bermula dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan iaitu menjelang akhir Januari tahun depan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *