Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Penduduk Orang Asli Kg Sentosa Jalani Saringan Penyakit Tibi

Penduduk Orang Asli Kg Sentosa Jalani Saringan Penyakit Tibi

mh online

Seramai 150 Orang Asli Kampung Sentosa di sini menjalani pemeriksaan percuma bagi saringan penyakit tibi menerusi Program Gempur Saring Tibi Orang Asli Lenga di Klinik Kesihatan Lenga, semalam.

Pegawai Kesihatan Unit TB Pejabat Kesihatan Muar Dr Nirwana Md Shah berkata mereka melakukan saringan untuk mengesan sama ada penduduk di situ terdedah kepada penyakit itu.

Katanya penyakit tibi atau batuk kering adalah penyakit disebabkan kuman ‘Mycobacterium Tuberculosis’ dan antara tanda seseorang itu dijangkiti tibi ialah batuk berkahak berterusan melebihi 2 minggu, kurang selera makan, turun berat badan, berpeluh pada waktu malam dan demam serta batuk berdarah.

“Walaupun tibi boleh dirawat hingga pulih, ia boleh membawa maut sekiranya pesakit tidak mendapat rawatan awal berikutan kerosakan paru-paru,” kata Dr Nirwana.

Program itu adalah anjuran bersama Unit Tibi Pejabat Kesihatan Muar, Badan Kebajikan Pejabat Kesihatan Muar dan Jabatan Kemajuan Orang Asli Muar (JAKOA).

Selain itu, katanya penduduk turut dibimbing mengenai penjagaan kebersihan diri seperti membasuh tangan dan diri, elak mengunjungi tempat yang sesak kerana kebanjiran orang ramai memudahkan seseorang itu dijangkiti penyakit berkenaan.

Dr Nirwana turut menasihatkan orang ramai menjalani ujian saringan tibi di klinik berhampiran sekiranya terdedah dengan pesakit tibi dan mendapatkan bantuan segera sekiranya mempunyai tanda penyakit itu.

Beliau berkata sepanjang tahun lalu, Johor mencatat sebanyak 2,372 kes tibi berbanding 2,290 kes pada 2014.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top