Penduduk Jepun dinasihatkan untuk mengurangkan waktu bekerja ekoran kebimbangan gejala itu boleh menyebabkan mereka mati kerana bekerja terlalu lama pada setiap hari.

Berdasarkan tinjauan umum yang dilaksanakan atas arahan Perdana Menteri Shinzo Abe, lebih satu daripada lima syarikat di Jepun memiliki staf yang bekerja lebih masa, sekali gus mengundang risiko kematian mengejut.

Menurut laporan tinjauan tersebut, akibat kerja lebih masa, beratus-ratus kematian dicatatkan pada setiap tahun dengan punca kematian melibatkan serangan strok, serangan jantung dan kes bunuh diri.

Menurut portal Japan Times, tinjauan itu dilakukan berdasarkan maklum balas 1,743 buah syarikat dan 19,583 staf di seluruh Jepun.

Sebanyak 22.7 peratus syarikat yang mengambil bahagian dalam tinjauan berkenaan mendakwa, sesetengah daripada staf mereka bekerja lebih masa dengan jumlah melebihi 80 jam pada setiap bulan.

Selain itu, statistik Agensi Polis Kebangsaan menunjukkan, kira-kira 2,159 orang membunuh diri pada 2015 ekoran mengalami masalah berkaitan kerja masing-masing.

Tinjauan berkenaan membuat kesimpulan bahawa setiap syarikat perlu meningkatkan tahap kebajikan pekerja terutamanya soal waktu bekerja bagi mengurangkan tahap tekanan kepada staf.

Kerajaan Jepun telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan waktu bekerja sebanyak lima peratus daripada lebih 60 jam setiap minggu.

Selain itu, Tokyo mahu memastikan setiap pekerja mengambil sekurang-kurangnya 70 peratus cuti bergaji yang diperuntukkan syarikat menjelang tahun 2020.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *