mh online

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan pendidikan asas silang budaya diberi penekanan dalam sukatan pelajaran bermula daripada peringkat prasekolah ataupun tadika.

image

Beliau berkata langkah itu perlu untuk memupuk perpaduan lebih jitu dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini yang kini dilihat semakin terjarak.

“Perpaduan (kini) tidak lagi (dilihat) menjadi keutamaan dan sedikit perbezaan menjadikan kita (antara kaum) berada di jarak yang jauh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program karnival Sambutan Jubli Intan 64 Tahun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari di sekolah itu di Sungai Sumun di sini hari ini.

Menurutnya pendidikan silang budaya harus diutamakan supaya semua bangsa di negara ini dapat memahami dengan lebih baik budaya dan bahasa masing-masing.

“Silang budaya membolehkan pemahaman antara pelbagai latar belakang rakyat Malaysia dan perpaduan dapat diberikan penekanan.

“Ia bukan hanya melalui kata-kata retorik dalam pidato-pidato atau ucapan, tetapi perpaduan tidak perlu dipidatokan dan dilaksanakan dengan melakukan asimilasi secara tidak langsung melalui sistem pendidikan,” katanya.

Ditanya mengenai kebimbangan tentang perpaduan yang dikatakan kian rapuh di negara ini, Timbalan Perdana Menteri yang mengakui perkara itu berkata, selain faktor luaran, antara lain ia disebabkan kurangnya pendidikan asas silang budaya dalam kalangan sekolah aliran vernakular dan aliran agama.

“Saya harap pandangan saya ini akan dicabut intipatinya untuk dijadikan sebagai wacana dalam kalangan para ahli akademik.

“Malah saya tekankan yang saya tidak mencadangkan memansuhkan sekolah Jenis Kebangsaan Cina ataupun Tamil cuma saya menekankan tentang pembelajaran silang budaya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata suatu usaha harus dicari bagi menjitukan perpaduan dalam negara ini, bukan secara superfisial atau permukaan tetapi secara nurani dan datang dengan sendiri.

Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut melawat gerai pameran dan beramah mesra dengan pelajar dan alumni sekolah itu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *