Anda di sini!
Utama > Nasional > Pendaftaran palsu kad sim prabayar meningkat

Pendaftaran palsu kad sim prabayar meningkat

Pendafataran palsu kad sim prabayar mencatat peningkatan sebanyak 187.1 peratus dan 89 aduan direkodkan bagi tahun 2015.

Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) menasihatkan pengguna agar mengambil langkah berjaga-jaga terutama berkaitan data peribadi.

Dalam satu kenyataan, CFM berkata ini termasuk mengelak maklumat peribadi seperti salinan kad pengenalan dan butiran peribadi digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mendaftar akaun prabayar individu lain.

Tambahnya, penyedia perkhidmatan tidak dibenarkan membuat salinan MyKad pelanggan semasa pendaftaran.

Sebaliknya, hanya pengesahan maklumat pengenalan diri perlu dibuat.

Pengerusi CFM Megat Ishak Maamunor Rashid berkata, antara faktor peningkatan pendaftaran palsu adalah untuk meningkatkan jualan.

“Berikutan permintaan perkhidmatan prabayar mudah alih yang semakin meningkat, terdapat ejen dan pengedar jualan yang menggunakan maklumat peribadi pengguna lain untuk membuat pendaftaran akaun palsu untuk pelanggan mereka terutamanya warga asing atas faktor untuk meningkatkan jualan,” kata Megat Ishak.

Pada 2015, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan sebanyak 50 kompaun berjumlah RM2.29 juta kepada syarikat-syarikat telekomunikasi atas kesalahan pendaftaran palsu kad sim prabayar.

Sehubungan itu, syarikat telekomunikasi digesa mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengesahkan maklumat yang diberikan oleh bakal pelanggan.

Proses tersebut juga bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan maklumat pengguna yang juga merupakan pelanggaran syarat bagi lesen syarikat telekomunikasi.

Leave a Reply

Top