Anda di sini!
Utama > Belia > Pencapaian Bidang Pendidikan Perlu Diimbangi Sahsiah Diri Baik – TPM

Pencapaian Bidang Pendidikan Perlu Diimbangi Sahsiah Diri Baik – TPM

mh online

Pencapaian baik dalam bidang pendidikan tidak bermakna sekiranya ia tidak diimbangi oleh pembentukan sahsiah diri mantap yang akan membekalkan negara dengan modal insan sempurna.

image

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata institusi persekolahan merupakan instrumen utama dalam membina masyarakat yang aman dan harmoni.

Beliau berkata tiada gunanya sesebuah institusi memperoleh pencapaian bidang pelajaran baik sekiranya masyarakat yang dilahirkan tidak memiliki pendidikan dalam erti kata sebenar, dan akhirnya akan menjejaskan keharmonian negara.

image

Beliau memberi contoh pendidikan di Korea Selatan kerana berjaya melahirkan masyarakat yang baik apabila sistem pendidikannya turut diterap dengan latihan berupa khidmat negara, yang juga memberi penekanan kepada aspek kerohanian.

“…sistem pendidikan itu telah dapat memberi ‘kebahagiaan rohani’ kepada rakyatnya, kadar jenayah negara itu berada di tahap paling rendah, inilah matlamat kita agar sistem pendidikan kita bukan saja dapat mencapai tahap pelajaran yang baik, tetapi juga dapat memberi pendidikan dan membentuk sahsiah diri yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sekolah Kebangsaan Sundar, kira-kira 30km dari sini hari ini.

image

Turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Anak Kujat serta Menteri Pembangunan Perindustrian, Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

image

Pada majlis itu, Zahid turut mengumumkan peruntukan RM2.2 juta bagi kerja-kerja memasang paip air dari Kuala Lawas ke Merapok, serta RM1.73 juta untuk kerja-kerja membaik pulih dan pembinaan rumah baharu di bawah Program Bantuan rumah (PBR) di Lawas.

Zahid, kemudiannya dibawa melawat sekitar kawasan penempatan Projek Rimbunan Kasih Sundar, yang terletak berhampiran sekolah itu, dan ia diteruskan dengan aktiviti tinjauan mesra di Kampung Awat-awat, sebelum beliau menamatkan lawatan kerjanya sehari di Lawas.

Leave a Reply

Top