GEORGETOWN, Pemuda Umno Pulau Pinang hari ini menyerahkan memorandum kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad bagi meminta Ketua Menteri, Lim Guan Eng meletakkan jawatan berikutan kes rasuah yang dihadapinya.

Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Rafizal Abd Rahim berkata, penyerahan memorandum itu berikutan Guan Eng telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) hari ini yang secara tidak langsung mahu membuktikan beliau bersih daripada gejala rasuah.

“Apabila beliau menandatangani IBR, beliau secara tidak langsung mengesahkan beliau orang yang bersih dan tidak terpalit dengan salah laku dan rasuah, sedangkan beliau masih berhadapan dengan kes mahkamah berkaitan rasuah. Jadi kami minta ketua menteri letak jawatan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu, di sini hari ini.

Terdahulu, Guan Eng mengetuai majlis bacaan ikrar dan menandatangani IBR dan tambahan 10 langkah integriti  di  Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini dan disaksikan oleh Dzulkifli.

Rafizal berkata, memorandum itu juga antara lain meminta SPRM membantu dan mempercepatkan proses tindakan terhadap kes rasuah membabitkan ketua menteri itu.

Pada 30 Jun tahun lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *