Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Pemuda BN agar menjaga silaturahim, keserasian dan mengetepikan perbezaan pendapat bagi memastikan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan perdana menteri berkata bagi memastikan matlamat itu tercapai, Pemuda BN perlu bersatu hati serta bergerak secara berpasukan untuk merampas kembali kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai pembangkang.

“Kita mesti kenal kawan-kawan kita dalam parti komponen BN dan harus bergerak sederap dalam sebuah pasukan kerana pengwujudan silaturahim akan menyebabkan berlaku ‘bonding’ (ikatan) dalam kalangan kita.

“Kalau ada perbezaan pendapat, ada masalah di kalangan kita, ketepikan dan bersatu hati demi mencapai kemenangan BN. Kita juga harus ketepikan perbezaan kaum, agama, bangsa dan etnik,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Ekspo Anak Muda Nadi Barisan Nasional (Aman BN) dan Job Fair UTC @ Aman BN Perak di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh di sini, hari Sabtu.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengerusi Pemuda BN Perak Khaiul Azwan Harun dan pemimpin-pemimpin parti komponen serta kira-kira 15,000 pengunjung.

Ahmad Zahid berkata dalam konteks negeri Perak, Pemuda BN perlu mengambil iktibar atas tragedi kerajaan negeri BN hilang kuasa selama 11 bulan pada PRU12.

“Cukuplah 11 bulan kita belajar, cukuplah 11 bulan kita sengsara, kita bernasib baik kerana negeri Perak mempunyai pemimpin seperti Datuk Seri Zambry. Apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) palu gendang pilihan raya, Perak adalah milik Barisan Nasional,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata beliau akan memantau ‘DNA’ BN dalam hirarki Pemuda UMNO untuk memperkuatkan UMNO serta parti komponen seperti MIC, MCA, Gerakan, Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), MyPPP dan Makkal Sakti.

“Dalam usaha untuk retain (mengekalkan) dan regain (mendapatkan semula) (kerusi DUN dan Parlimen) kita berikan tumpuan kepada penyokong yang terdiri daripada DNA Barisan Nasional dan tarik kawan-kawan untuk bersama dengan kita,” katanya.

Program anjuran Pemuda BN Perak dengan kerjasama Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) dan JobsMalaysia Perak itu adalah untuk menanam semangat kebersamaan terhadap gerak kerja pentadbiran kerajaan pimpinan BN bersama golongan belia yang merupakan nadi masa depan negara.

Program sehari dari pukul 10 pagi hingga 11.30 malam itu merangkumi aspek peluang pekerjaan, latihan kemahiran, bantuan dana keusahawanan, skim perumahan, aktiviti sukan, seni dan hiburan.

Sebanyak 100 gerai pameran disediakan untuk pengunjung manakala lebih 5,000 jawatan kosong ditawarkan daripada pelbagai syarikat dan industri selain pelbagai aktiviti turut diadakan antaranya pertandingan bola jaring, sepak raga bulatan, gunting rambut percuma dan jualan makanan ”food truck’ ‘.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *