Anda di sini!
Utama > Terkini > Pemimpin Parti Perlu Diberikan Dokongan Untuk Selesai Masalah Parti – TPM

Pemimpin Parti Perlu Diberikan Dokongan Untuk Selesai Masalah Parti – TPM

mh online

image

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta anggota parti di peringkat negeri, bahagian dan akar umbi supaya mendukung usaha-usaha yang dilakukan oleh kepimpinan pusat untuk menyelesaikan masalah dihadapi parti.

Beliau berkata kepimpinan parti dan kerajaan sedang bertungkus-lumus untuk menyelesaikan masalah-masalah yang diperkatakan itu.

Tanpa menjelaskan masalah yang sedang cuba diselesaikan oleh kepimpinan parti, katanya, beliau yakin masalah itu dapat diselesaikan pada jangka masa yang telah ditentukan,

“Atas dasar ini, kami menjelaskan kepada kepimpinan negeri, bahagian serta akar umbi bahawa dukungan harus diberikan kepada kepimpinan pusat untuk menyelesaikan masalah itu,” kata Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat tertutup dengan ketua-ketua bahagian UMNO di Kedah dan berjumpa dengan pemimpin serta anggota empat peringkat UMNO negeri di Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Selain Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, majlis itu turut disertai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad Zahid berkata kesatupaduan antara pemimpin pusat serta anggota di peringkat negeri, bahagian dan cawangan adalah penting bagi memastikan kemenangan parti dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Kesiapsiagaan UMNO dalam menghadapi PRU-14 menurutnya, tidak harus sekadar memberikan ‘roh’ dan semangat, tetapi juga perlu diisi dengan tindakan taktikal yang dapat menjamin kemenangannya.

Tindakan taktikal itu penting berikutan langkah parti pembangkang tertentu menggunakan peruntukan dalam Akta Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memindah pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain, katanya.

Mengenai program jelajah UMNO ke negeri-negeri sebagaimana dilakukan di Kedah hari ini, katanya ia tidak bermotif agenda peribadi tetapi bertujuan menerangkan isu-isu terkini dan mendapat maklum balas daripada akar umbi.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top