Share on Facebook

PUTRAJAYA, Tiga wakil cawangan DAP Selangor hantar laporan menggesa Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menyiasat wujud ketirisan dalam pemilihan semula kali Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang diadakan 13 November lalu.

Bekas Pengerusi DAP Pantai Sepang Putra yang juga bekas Timbalan Pengerusi DAP Asam Kumbang, Kuala Kubu Bharu, Selangor, Santokh Singh Gurdev Singh, berkata firma audit bebas, Grant Thornton, yang dilantik DAP bagi mengendalikan CEC dilihat tidak mematuhi arahan seperti mana ditetapkan ROS.

Beliau mendakwa, DAP gagal mengemaskini senarai ahli yang meninggal dunia dan keluar parti termasuk memaparkan senarai nama yang layak mengundi pada CEC terbaharu di laman sesawang parti.

“Senarai jawatankuasa juga tidak berubah dan perkara ini seolah-olah sudah diatur pihak yang berkepentingan dalam parti,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tiga wakil cawangan DAP Selangor, masing-masing dari cawangan Asam Kumbang, Kuala Kubu Bharu, Pantai Sepang Putra dan Kelang turut hadir membuat laporan.

Pada 7 Julai lalu, bekas Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah, dalam satu kenyataan mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC kerana mendapati pelantikan anggota CEC dan pemegang jawatan utama melalui pemilihan semula pada 29 September 2013, tidak sah dari segi undang-undang.

ROS menetapkan pemilihan semula itu sepatutnya dibuat berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012, iaitu membabitkan 2,576 perwakilan dari 865 cawangan.

Santokh Singh berkata, kertas undi pemilihan CEC juga tidak dicetak nombor siri dan dikhuatiri diseleweng sewaktu proses pengiraan undi.

Beliau mendakwa, wakil atau ejen calon juga tidak dibenarkan berada di tempat pengiraan undi sewaktu proses pengiraan diadakan dan perkara itu menambah kemusykilan ahli.

“Kami harap ROS dapat menyiasat perkara ini dan diberitakan beberapa cawangan lain akan turut menyusul bagi membuat laporan berhubung perkara yang sama sedikit masa lagi.

“Sekiranya perkara ini benar, kepimpinan DAP perlu bertanggungjawab dan bersedia menghadapi tindakan ROS,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *