Share on Facebook

KUALA TERENGGANU, Isu Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) tidak perlu lagi dipolitikkan oleh pembangkang yang terlalu terdesak mahu menjadi juara di mata rakyat, kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah lama menyelesaikan perkara itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata isu DKKP terlalu kerap ditimbulkan pembangkang walaupun sudah berkali-kali penjelasan isu sama dibuat dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, DKKP keseluruhan berjumlah RM2.169 bilion sudah mula dibayar kepada Terengganu sejak 2011 dan akan selesai sepenuhnya pada 2020.

Katanya, Terengganu sudah memperoleh kembali bayaran royalti minyak itu yang dibayar secara berperingkat iaitu masing-masing sebanyak RM200 juta pada 2011 dan 2012.

Ini diikuti RM220 juta setiap tahun dari 2013 hingga 2019, dan akan diteruskan dengan RM229.8 juta pada 2020.

Ahmad Razif yang kecewa dengan sikap pembangkang kerana tidak habis-habis membangkitkan isu royalti minyak daripada Pusat pada setiap Persidangan DUN berkata, sebahagian besar Bajet Terengganu memang datangnya daripada DKKP.

“Saya harap ini kali terakhirlah (beri penjelasan). Rakan media tolonglah ambil (fakta ini) dan sebarkan. Macam-macam diceritakan (pembangkang) bahawa duit ini digunakan di negeri lain lah dan sebagainya.

“Jadi tak perlu untuk (pembangkang) tonjolkan diri seolah-olah pihak sana (pembangkang) menjadi juara dalam hal ini, kerana pihak yang sini (kerajaan BN) sudah lama selesaikan,”katanya ketika menggulung perbahasan Bajet Terengganu 2018 pada Persidangan DUN Ke-13 di sini, hari ini.

Ahmad Razif turut mengakui projek menggunakan duit dana kerajaan negeri untuk program rumah mesra rakyat negeri lain sebanyak RM771.344 juta; Dana Khas Kerajaan Persekutuan dan negeri lain RM717.300 juta; projek jalan raya Simpang Pulai – Lojing – Gua Musang pakej 6A dari Aring ke sempadan Kelantan – Terengganu RM197.610 juta.

“Seterusnya, projek perumahan TUDM Gong Kedak (RM35 juta); perbelanjaan pengurusan Universiti Darul Iman (RM22.4 juta); perolehan tanah 100 ekar untuk projek Pusat Latihan Teknologi Tinggi ADTEC (RM21.344 juta); bayaran pampasan tanah Pulau Redang (RM4.907 juta) dan projek naik taraf Lapangan Terbang Sultan Mahmud (RM400juta) dengan jumlah keseluruhannya RM2.169 bilion,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir itu berkata, atas hujah yang sama, penarikan balik saman terhadap kerajaan Pusat mengenai DKKP tidak sepatutnya menjadi isu, apabila kerajaan negeri dan Pusat mempunyai hubungan yang baik.

“Yang penting ialah rakyat perlu tahu, apabila hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan Pusat sangat rapat, maka banyak masalah akan selesai. Ini yang penting,” katanya.

Beliau berkata, tuntutan yang difailkan kerajaan negeri di bawah PAS terhadap PETRONAS pada 1999 hingga 2004 adalah untuk satu perintah supaya PETRONAS membuat bayaran sebagaimana sepatutnya mulai 1 September 2000 dan di masa hadapan, seperti yang diperuntukkan dalam perjanjian.

“Disebabkan perkara ini sudah dilaksanakan, maka pada 21 Mac 2012, kerajaan negeri menarik balik kes tuntutan itu di mahkamah. Isu ini sudah lima tahun selesai dan ia bukan satu pengkhianatan,” katanya.

Terdahulu pada sesi perbahasan Bajet Terengganu 2018, Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam); Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) dan Azan Ismail (PKR-Bandar) menuduh kerajaan negeri di bawah BN sebagai pengkhianat, berikutan isu DKKP, yang sebenarnya sudah lama selesai.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri BN juga mempunyai hubungan baik dengan PETRONAS, terutama dalam pelaksanaan program tanggungjawab sosial (CSR) syarikat minyak itu di Terengganu termasuk dalam aspek pembangunan, pendidikan, kemahiran, peluang perniagaan dan pekerjaan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *