Pembangkang diminta mengelak kerenah birokrasi yang merugikan dan meletakkan masyarakat dalam senario tegang sebaliknya, bekerjasama dengan kerajaan bagi memenuhi kepentingan rakyat.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata sebagai parti politik yang didakwa berorientasikan rakyat, pembangkang seharusnya mengutamakan perkara berkaitan keperluan dan manfaat rakyat.

“Ada perkara yang boleh kita politikkan dan ada masanya pula kita sebagai parti politik kerajaan dan pembangkang perlu sanggup bekerjasama.

“…(oleh itu,) hal berkaitan rakyat, janganlah kita susahkan dan halang serta asyik membangkang contohnya isu perumahan rakyat kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dibantah DAP,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada majlis Untaian Kasih Parlimen Kangar di Dewan Kolej Vokasional di sini malam Sabtu.

 Menurutnya setiap rakyat berhak mendapat kehidupan sempurna dan menikmati kemudahan terutamanya perumahan yang selesa.

Annuar berkata isu perumahan adalah perkara yang menyentuh setiap lapisan masyarakat dan menjadi matlamat BN untuk merialisasikan impian mereka memiliki kediaman.

“Jadi, bila BN fokus kepada kepentingan rakyat, saya harap pembangkang tidak timbulkan perkara yang menyusahkan kerajaan pusat untuk melaksanakannya…jangan hasut rakyat dengan tohmahan yang tidak berasas,” katanya.

Beliau berkata para pemimpin Umno tidak akan berhenti mencari cara terbaik bagi mensejahterakan rakyat termasuk melipatgandakan usaha memberi bantuan yang boleh membantu meningkatkan pendapatan rakyat.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *