Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pelancongan Kesihatan Terus Positif

Pelancongan Kesihatan Terus Positif

mh online

Kelembapan ekonomi tidak menjejaskan kehadiran pelancong kesihatan di negara ini, sebaliknya ia terus berkembang, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata berdasarkan laporan Majlis Pengembaraan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC), kira-kira 800,000 pelancong menerima rawatan kesihatan di negara ini tahun 2014 dengan pulangan pendapatan sekitar RM777 juta.

“Untuk tahun lepas, walaupun tidak sampai unjuran yang dibuat, namun kedatangan pelancong kesihatan ke Malaysia tetap meningkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Perpaduan Ponggal 2016 di sini Khamis malam.

Statistik kedatangan pelancong kesihatan untuk tahun 2015 hanya akan dikeluarkan secara rasmi pada Mac ini.

Dr Subramaniam mengulas laporan laman web ‘International Living’ yang menyenaraikan empat negara iaitu Malaysia, Colombia, Costa Rica dan Panama yang mempunyai penjagaan kesihatan terbaik di dunia.

Dalam laporan bertajuk ‘Four Countries With The Best Healthcare in The World’ yang diterbitkan pada 19 Jan lalu, Malaysia diletakkan di tangga pertama sebagai destinasi pelancongan kesihatan yang berkembang pesat.

Menjelas lanjut, Dr Subramaniam berkata kos rawatan yang rendah di samping perkhidmatan berkualiti berbanding negara lain merupakan daya tarikan utama pelancong perubatan ke Malaysia.

Beliau berkata ketika ini, pihaknya giat menjalankan promosi di negara-negara Timur Tengah memandangkan budaya yang dimiliki oleh Malaysia dengan negara di rantau berkenaan hampir sama.

“Ramai pesakit misalnya dari Arab Saudi atau Qatar pergi ke Thailand sedangkan di negara kita budaya dan beberapa perkara sesuai dengan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata kementerian mempunyai bekalan vaksin bagi penyakit polio dan batuk kokol (pertussis) yang mencukupi untuk diberikan kepada kanak-kanak di negara ini walaupun terdapat masalah bekalan di peringkat global.

“Kita (kementerian) sudah berbincang dengan beberapa syarikat berkaitan isu tersebut. Untuk jangka masa pendek, masalah ini telah berjaya diselesaikan.

“Terdapat masalah bekalan di peringkat global dan kita mencuba sebaik mungkin untuk menangani masalah ini,” katanya.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top