Anda di sini!
Utama > Terkini > Pelan Strategi Keselamatan ASEAN Dimuktamad – TPM

Pelan Strategi Keselamatan ASEAN Dimuktamad – TPM

mh online

image

Pelan Strategi Keselamatan Jalan Raya Serantau ASEAN yang akan menjadi standard bagi keselamatan jalan raya negara anggota pertubuhan itu telah dimuktamadkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata strategi yang selari dengan Dekad Tindakan bagi Keselamatan Jalan Raya Pertubuhan Bangsa Bersatu 2011-2020, adalah penting untuk menjaga kebajikan rakyat ASEAN memandangkan kawasan serantau itu akan terus membangunkan tanah dan infrastruktur pengangkutan.

“Tambahan pula, saya faham bahawa semasa mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN tahun lepas, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya atau MIROS, dilantik sebagai Pusat Keselamatan Jalan Raya ASEAN dalam menyepadukan usaha-usaha oleh negara anggota ASEAN berhubung hal-hal keselamatan, yang sudah tentu merupakan satu penghormatan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN ke-21 di sini, Khamis.

Ahmad Zahid berkata, pembangunan infrastruktur pengangkutan darat iaitu jalan raya dan kereta api adalah sama-sama penting bagi meningkatkan mobiliti dan mencapai integrasi lebih besar dan kesalinghubungan antara mod dalam negara-negara ASEAN.

Oleh itu, beliau berkata, penyiapan dan pelaksanaan Perjanjian Pemudahan Pengangkutan ASEAN juga sudah pasti tepat pada masanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata sektor pengangkutan memainkan peranan penting dalam memastikan ASEAN mengekalkan kedudukan utamanya sebagai satu daripada blok ekonomi utama di dunia dan wujud manfaat besar yang akan diperoleh daripada kerjasama serantau.

Katanya rangkaian kesalinghubungan dan pengangkutan yang lebih baik terdiri daripada laluan darat, udara dan maritim di seluruh rantau ini akan menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan ASEAN, memperkayakan integrasi ekonomi dan daya saing negara anggota ASEAN.

“Pertalian tertentu dipertingkatkan, seperti pasaran langit terbuka dan penerbangan tunggal ASEAN, Rangkaian Lebuh Raya ASEAN, laluan rel Singapura-Kunming, dan infrastruktur logistik dan pelabuhan yang begitu baik di ASEAN, akan meningkatkan kemungkinan untuk perdagangan dan pelancongan pada skala serantau dan global,” katanya.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN, pertalian itu juga akan memudahkan kerjasama dan penglibatan yang lebih besar di seluruh negara ASEAN.

Ahmad Zahid berkata, komponen utama dalam penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) adalah liberalisasi sektor penerbangan ASEAN, yang akan menjadi pemangkin ketara untuk pertumbuhan ekonomi di rantau ini pada tahun 2030.

“Saya gembira dengan kemajuan yang telah dicapai dalam pelaksanaan pelan tindakan Pasaran Penerbangan Tunggal ASEAN (ASAM).

“Usaha untuk merealisasikan penubuhan ASAM, serta pengesahan penuh dan pelaksanaan Perjanjian Langit Terbuka ASEAN, adalah amat penting,” kata Ahmad Zahid.

Dalam menyokong perkara ini, beliau berkata adalah penting untuk mengukuhkan inisiatif teknikal lain, seperti pengurusan trafik udara, kerjasama keselamatan dan paling penting, keselamatan penerbangan, yang mesti kekal menjadi fokus utama.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top