Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pelaksanaan MyDeposit Perlu Dipantau Secara Berterusan – Pemuda UMNO

Pelaksanaan MyDeposit Perlu Dipantau Secara Berterusan – Pemuda UMNO

Pelaksanaan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) perlu dipantau secara berterusan supaya tiada pihak mengambil kesempatan, menurut Pemuda UMNO.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar & Perumahan Pemuda UMNO Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata kerajaan juga perlu memastikan pemaju perumahan khususnya tidak menaikkan harga jualan rumah.

“Pihak kerajaan perlu memberi penekanan yang serius serta mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pemaju perumahan yang menaikkan harga jualan rumah termasuk menyenarai hitam syarikat-syarikat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan skim MyDeposit bagi membantu golongan berpendapatan sederhana (M40) yang mempunyai pendapatan isi rumah antara RM3,000 dan RM10,000.

Skim itu melibatkan pemberian sumbangan sebanyak 10 peratus daripada harga jualan atau maksimum RM30,000, yang mana lebih rendah, kepada pembeli rumah pertama untuk membantu mereka membeli rumah yang berharga kurang RM500,000.

Perdana Menteri juga berkata pihak Majlis Perumahan Negara diharap dapat memastikan usaha dan inisiatif melalui skim MyDeposit membantu mengurangkan jumlah rakyat khususnya golongan muda yang tidak memiliki rumah.

Nazir Hussin dalam pada itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri sambil menyatakan skim MyDeposit merupakan inisiatif terbaik bagi memastikan rakyat khususnya golongan muda memiliki rumah sendiri.

“Ini adalah antara perjuangan Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan selain memohon kerajaan membantu duit sewaan rumah kepada golongan muda yang kurang berkemampuan pada awal tahun 2014 yang lalu,” katanya.

Leave a Reply

Top