Anda di sini!
Utama > Terkini > PDRM Siap Siaga Optimum Hadapi Sebarang Kemungkinan – TPM

PDRM Siap Siaga Optimum Hadapi Sebarang Kemungkinan – TPM

mh online

Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berada di tahap siap siaga optimum dengan penambahan kekuatan anggota bagi menghadapi kemungkinan berlaku keganasan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 minggu depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebagai tuan rumah persidangan itu, keselamatan setiap pemimpin negara-negara ASEAN dan rakan dialog menjadi keutamaan.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata PDRM khususnya Bahagian Counter Terrorism kini lebih berhati-hati dan berwaspada terhadap apa jua aktiviti yang disyaki membabitkan keganasan.

“PDRM telah menggerakkan apa yang patut… beri sokongan kepada agensi keselamatan kita.

“(Saya) minta tolong rakyat bekerjasama sampaikan maklumat (aktiviti keganasan) kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) jika ada,” katanya pada sidang media selepas merasmikan perhimpunan agung tergempar Parti Progresif Penduduk (PPP) 2015 dan penjenamaan semula PPP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini Ahad.

Malaysia, yang merupakan Pengerusi ASEAN, akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan sidang kemuncak berkaitan mulai 18 hingga 22 Nov di ibu negara.

Ahmad Zahid berkata mana-mana pihak yang didapati terbabit dengan aktiviti keganasan tertakluk di bawah undang-undang termasuk Akta Kesalahan-Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)(SOSMA) 2012, Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden keganasan di Paris dan kerajaan tidak berhasrat memanggil mereka pulang.

Ditanya adakah pihak Perancis meminta sebarang bantuan kepakaran daripada Malaysia mengenai insiden serangan keganasan itu, beliau berkata setakat ini belum ada permintaan.

Menurut laporan, lebih 100 orang terbunuh dan ratusan cedera dalam siri serangan pada Jumaat malam melibatkan sebuah dewan konsert, restoran-restoran di pusat bandar dan berdekatan Stadium Stade de France.

Ahmad Zahid berkata Malaysia, yang dipilih sebagai Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi pada Oktober lepas, akan meningkatkan keupayaan untuk mengesan individu-individu terlibat dengan serangan keganasan jika ada yang berlindung di negara ini.

Mengenai penjenamaan semula PPP, beliau berharap parti komponen Barisan Nasional (BN) itu yang kini dikenali sebagai myPPP, dapat menarik lebih banyak keanggotaan daripada pelbagai kaum dan latar belakang.

“Pastikan ahli-ahli myPPP adalah tulen dan bukan daripada parti lain dalam BN kerana kita mahu lebih sokongan daripada ahli baharu myPPP, BN akan menjadi lebih kuat,” katanya.

Ahmad Zahid berkata setiap kepimpinan parti itu juga harus bergerak secara bersama dan sentiasa turun ke peringkat akar umbi tanpa mengira musim pilihan raya atau tidak.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top