Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PDRM Sedang Buru Empat Lagi Suspek

PDRM Sedang Buru Empat Lagi Suspek

Dua wanita asing dan seorang lelaki tempatan ditahan setakat ini sementara polis menyiasat dengan lebih terperinci kes kematian Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, Isnin lepas.

Polis menahan suspek wanita kedua pada pukul 2 pagi Khamis di sebuah bilik hotel di Ampang yang memegang pasport Indonesia dengan nama Siti Aishah, yang menyatakan tarikh lahir pada 11 Februari 1992 dan tempat lahirnya di Serang, Indonesia.

Wanita itu dipercayai menginap di bilik hotel itu sejak melarikan diri dari lapangan terbang selepas kes pembunuhan tersebut.

Sumber berkata bilik yang didiami wanita itu tidak dikunci semasa serbuan dilakukan.

Polis turut menjumpa timbunan wang tunai dalam mata wang asing termasuk tiga keping wang AS$100.

Kedutaan Indonesia di sini telah meminta kebenaran daripada Kementerian Luar Malaysia untuk bertemu dengan suspek wanita yang memiliki pasport Indonesia itu untuk menyemak identitinya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata turut ditahan seorang lelaki warga Malaysia berusia 26 tahun yang dikatakan teman lelaki wanita itu.

Dia ditahan di Ampang pada pukul 6 petang Rabu.

Suspek wanita pertama, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada pukul 8.20 pagi Rabu, memegang dokumen perjalanan Vietnam.

Pasport itu menggunakan nama Doan Thi Huong, dengan tarikh lahir 31 Mei 1988 dan tempat lahirnya di Nam Dinh.

Kedua-dua wanita itu direman selama tujuh hari mulai Khamis, menurut Ketua  Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat.

Perintah reman dikeluarkan di Ibupejabat Polis Daerah Sepang.

Sementara itu, polis percaya dua wanita tersebut dan empat lelaki yang sedang diburu polis melakukan tinjauan di klia2 sehari sebelum serangan tersebut.

Sumber berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada hari itu menunjukkan enam individu berjalan di sekitar klia2.

Mereka dilihat sedang bergurau dan menyembur cecair ke arah satu sama lain ketika berjalan di sekitar lapangan terbang tersebut.

Polis juga percaya suspek mungkin merancang serangan itu secara teliti kerana mereka melakukan pemantauan ke atas tahap keselamatan di lapangan terbangan tersebut sehari sebelum kejadian.

“Mereka mungkin sedang memilih lokasi terpencil yang sesuai untuk menyerang mangsa di balai berlepas,” kata sumber itu sambil menambah empat lelaki tersebut mungkin dalang di sebalik serangan tersebut.

Pada Isnin lepas, Jong-nam dilaporkan berada di klia2 untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila secara tiba-tiba seorang wanita menekup mukanya dengan kain yang mengandungi cecair beracun.

Jong-nam, yang menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Sementara itu, Jabatan Kimia berkata ia telah menerima beberapa sampel daripada polis yang menyiasat kematian Jong-nam untuk dianalisis.

Pengarah Bahagian Forensik Jabatan Kimia, Dr Cornelia Charito Siricord berkata sampel berkenaan diterima petang tadi dan akan dianalisis secepat mungkin.

Dalam perkembangan lain, dua pegawai polis Malaysia mengunjungi Kedutaan Korea Utara di sini tengah hari Khamis, dikatakan untuk bertemu dengan Duta Korea Utara, Kang Chol mengenai kes berkenaan.

Mereka memasuki perkarangan kedutaan pada kira-kira pukul 12.50 tengah hari dan beredar kira-kira 15 minit kemudian tanpa memberi sebarang ulasan kepada pemberita.

Abdul Samah berkata keselamatan di pintu masuk dan pintu keluar negara ini seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan klia2 diperketatkan bagi mengelakkan suspek lain dalam kes ini melarikan diri dari negara ini.

Tinjauan di klia2 mendapati terminal itu sibuk dengan pelancong dalam dan luar negeri dan dipantau oleh pihak keselamatan.

Institut Perubatan Forensik Negara di Hospital Kuala Lumpur, wartawan tempatan dan luar dilihat menanti perkembangan terkini dalam kes yang telah menarik perhatian antarabangsa.

Satu bedah siasat telah dilakukan ke atas mayat Jong-nam pada Rabu.

 

Leave a Reply

Top