Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Pasar Ramadhan Terapung Di Pantai Ndo Tumpat

Pasar Ramadhan Terapung Di Pantai Ndo Tumpat

Pasar Ramadan Terapung di Pantai Ndo, Taman Mahkota, di sini, memberi kelainan apabila peniaga menjual pelbagai juadah berbuka puasa di atas bot.

Enam bot terapung sedia menunggu pengunjung dengan pelbagai juadah termasuk aneka menu dari pulau berhampiran seperti madu, nira nipah dan kerabu nipah.

Seawal jam 4 petang, bot dari perkampungan nelayan di Pulau Seratus, Pulau Timun, Kuala Besar, Teluk Renjuna dan beberapa kampung lain mula menghampiri tebing Pantai Ndo.

Seorang penjual dari Kampung Pulau Timun, Faridah Mohamad, 56, mengambil peluang untuk menjual juadah yang sinonim dengan perkampungan atas pulau iaitu kerabu nipah.

“Sebelum ini saya belum pernah berniaga di atas bot yang hanya digunakan suami untuk menangkap ikan.

“Apabila wujudnya pasar terapung sebegini, saya cuba untuk menambah pendapatan sekali gus menjual makanan yang sukar didapati di tempat lain seperti kerabu nipah,” katanya ketika ditemui di sini.

Seorang pengunjung, Tuan Noraini Tuan Musa, 51, berkata inisiatif mengadakan pasar Ramadan terapung adalah sangat bagus kerana selain menjadi tarikan pengunjung untuk ke Pantai Ndo, banyak juga juadah berbuka puasa yang dijual dengan harga yang lebih murah.

“Bermula hari pertama lagi saya sudah datang ke sini untuk mendapatkan kerabu nipah dan air kelapa kerana ia (kerabu nipah) agak sukar didapati melainkan kawasan pulau selain harganya yang sangat berpatutan.

“Saya harap pasar Ramadan terapung ini akan terus diadakan setiap tahun dan mungkin boleh dicadangkan sebagai pasar minggu selepas ini,” katanya.

-BH Online-

Leave a Reply

Top