PAS tidak akan lemah kerana krisis parti atau kerana tidak lagi bersama parti pembangkang lain yang membentuk Pakatan Harapan, kata Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata walaupun PAS ada jatuh bangunnya, anggota parti itu tetap setia dengan parti dan jentera akar umbinya juga tetap kuat.

“Seperti sekarang, apabila PAS berpecah dan Parti Amanah Negara (Amanah) ditubuhkan, adakah PAS lemah ? …Saya tidak nampak begitu,” kata Salleh menerusi catatan terbaru di laman blognya sskeruak.blogspot.my, hari ini.

Baru-baru ini, wujud usaha daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan rundingan tidak rasmi dengan PAS bagi mengelakkan pertembungan pada pilihan raya umum ke-14 sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan sekutu Pakatan Harapan, terutamanya Amanah.

Tindakan Mohamed Azmin, yang dilakukan atas saranan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu bercanggah dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang mengekalkan pendirian tidak akan bekerjasama dengan PAS dan juga pendirian PAS, melalui pimpinan tertingginya yang menolak sebarang kerjasama dengan mana-mana parti dalam pakatan pembangkang itu.

Salleh, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata melihat kepada rekod PAS, perjuangan PAS akan terus kekal walaupun berlaku perpecahan dalam parti dan pemimpinnya silih berganti.

Katanya ini kerana wujud pemahaman dalam kalangan anggotanya dan rakyat yang menyokong PAS bahawa ia bukan hanya sebagai parti politik tetapi juga sebagai perjuangan menegakkan agama.

Menurut Salleh, kajian Institut Darul Ehsan (IDE), sebuah badan penyelidikan kerajaan negeri Selangor, bahawa Amanah hanya mendapat satu peratus sokongan daripada rakyat manakala Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki menyatakan sokongan kepada Amanah menurun kepada 0.5 peratus.

Beliau berkata sebabnya ini berlaku adalah kerana rakyat bosan dengan sikap Amanah yang tidak konsisten.

“Jika begitulah senarionya, bagaimana PAS setelah ini… apakah PAS akan berkubur setelah tidak lagi bersama PH…?

“Melihat kembali kepada kata-kata Clive Kessler (melalui buku politik dan masyarakat Kelantan bertajuk Islam and Politics in a Malay State: Kelantan, 1838-1969), PAS adalah parti ‘akal’ yang akan terus kekal biarpun pemimpinnya bertukar ganti. Seperti kata Kessler lagi, yang tewas ialah ‘nafsu.’ Saya semacam tertarik dengan kata-kata ini,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *