Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > PAS Sokong Agenda Kerajaan Hentikan Kezaliman Terhadap Rohingya – Khalil Hadi

PAS Sokong Agenda Kerajaan Hentikan Kezaliman Terhadap Rohingya – Khalil Hadi

PAS sokong agenda kerajaan untuk memastikan kezaliman terhadap etnik Rohingya yang juga saudara sesama Islam yang ditindas dapat dibela.

Itu kata-kata yang disuarakan sukarelawan PAS yang menyertai misi kemanusiaan ‘Food Flotilla for Myanmar’ menuju ke Yangon, Myanmar dan Teknaf, Bangladesh.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata umat Islam perlu bergabung memandangkan isu Rohingya ini merentasi sempadan politik.

“Agenda Islam adalah sentiasa agenda bersama dan ahli Parlimen PAS sendiri beri sokongan kepada kerajaan (sedia ada) berhubung isu Rohingya,” katanya, dipetik sebagai berkata.

Muhammad Khalil yang juga anak kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata gelombang yang diterajui Malaysia pastinya membuka mata dunia untuk memberi perhatian terhadap etnik Rohingya yang ditindas.

Ditanya adakah PAS akan meneruskan kerjasama lain dengan kerajaan, beliau tidak menolak kemungkinan yang pihaknya akan terus bekerjasama demi kepentingan agama Islam serta negara.

“Setakat ini semua berjalan dengan baik. Harapnya misi mencapai objektif yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi sukarelawan PAS, Sazali Sudin, 40, berkata kesusahan yang dihadapi etnik Rohingya menyebabkan beliau terpanggil untuk menyertai misi ini.

“Ini tanggungjawab umat Islam dan saya merasa cukup bertuah kerana banyak badan bukan kerajaan (NGO) bergabung meskipun berbeza fahaman.

“Saya berharap kami dapat sampaikan bantuan selain saya mahu lihat sendiri keadaan keperitan yang dilalui etnik Rohingya kerana anak mereka seperti anak saya juga,” katanya.

Misi yang masuk hari keenam ini membawa 2,300 tan metrik makanan, keperluan perubatan, keperluan harian, pakaian dan selimut, dijangka belayar selama 18 hari melalui Laut Andaman untuk sampai ke Yangon dan kem pelarian di Bangladesh.

Misi ‘Food Flotilla for Myanmar’ adalah anjuran Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Ia disertai 195 sukarelawan dari 12 negara melibatkan pasukan perubatan, tenaga pengajar, pengamal media tempatan dan antarabangsa, serta wakil-wakil NGO tempatan dan luar negara.

Leave a Reply

Top