KUALA LUMPUR, Berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang mengadakan mesyuarat khas hari ini memutuskan tiga Exco parti itu kekal dalam pentadbiran kerajaan Selangor tanpa perlu meletak jawatan.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Perkara 53 Fasal 7 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 jelas menyatakan bahawa seorang Exco selain Menteri Besar hendaklah memegang jawatan selama yang diperkenan oleh Sultan Selangor.

“Kedudukan Exco sebagaimana maklum sebelum ini, mereka dilantik oleh Sultan Selangor dan kita akan tunggu perkembangan berikut, kita akan teruskan pentadbiran dengan lancar dan tidak mahu ganggu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu di ibu pejabat PAS di sini.

Tuan Ibrahim, yang kini memangku tugas Presiden PAS, turut menafikan laporan bahawa parti itu mengeluarkan arahan supaya semua 13 Anggota Dewan Undangan Negeri PAS di Selangor meletak jawatan masing-masing.

“Saya nafi ada arahan letak jawatan atau keluar daripada kerajaan Selangor. Laporan media hari ini turut dinafikan Pesuruhjaya PAS Selangor (Sallehen Mukhyi) dalam mesyuarat yang baru diadakan dan beliau tidak mengeluarkan arahan demikian,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata persoalan berkaitan tiga Exco PAS letak jawatan tidak timbul selagi kedudukan mereka diperkenan oleh Sultan Selangor.

“PKR sendiri tidak membuat keputusan, sebaliknya menunggu Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) balik. Kita tak tahu dia nak buat macam mana. Kita akan buat keputusan itu, apabila tiba masanya,” katanya.

Tiga Exco PAS di Selangor ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Dr Ahmad Yunus (Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi) serta Zaidy Abdul Talib (Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).

Pada 11 Mei, Majlis Syura Ulama memutuskan PAS menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR, selepas Muktamar PAS ke-63 di Alor Setar, Kedah bulan lepas meluluskan usul supaya pimpinan tertinggi parti menamatkan kerjasama politik antara kedua-dua parti apabila PKR dilihat tidak menghormati PAS sebagai rakan sekutu mereka.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *