PKR perlu menarik semua tuduhan yang dibuat pimpinan parti itu kepada PAS sebelum mahu berunding semula dengan mereka.

Pengarah Institut Strategi PAS Pusat (ISP), Mohd Khairuddin Aman Razali, mempersoalkan mengapa PKR mahu berunding semula selepas menyerang PAS dan Presiden parti itu.

Katanya, perkara itu menimbulkan banyak tanda tanya.

“Setakat ini, tidak ada sebarang perbincangan dengan PKR. PAS kekal seperti keputusan sebelumnya iaitu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk berhadapan dengan Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang.

“Kita akan bertegas dengan agenda Islam bagi menyelamatkan negara,” katanya mengulas kemungkinan PAS dan PKR akan berunding semula menjalinkan hubungan kerjasama untuk PRU-14.

Baru-baru ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam suratnya mahu hubungan PKR dengan PAS diteruskan selagi parti Islam itu bersedia untuk meneruskan perbincangan.

Pada minggu lalu, pakatan pembangkang memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PAS. Keputusan itu dibuat sebelum kenyataan Anwar dikeluarkan.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, memilih untuk senada dengan pendirian Anwar.

Ditanya sama ada PAS bersedia berunding jika PKR bertegas mahu menjalinkan kerjasama, Mohd Khairuddin berkata; “Berkahwin tak boleh seorang atau bertepuk sebelah tangan. Selepas menyerang PAS dengan pelbagai tuduhan, tiba-tiba hendak berunding?.”

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *