Parti ini kecil, hanya fokus kepada dan membongkar lubuk kejahatan salah guna kuasa dan penyelewengan rasuah yang berlaku di negara ini.

Demikian menurut bekas pemimpin Umno, Datuk Ezam Mohd Nor mengenai penubuhan parti baharunya yang dikenali dengan panggilan parti bebas rasuah.

Beliau berkata, parti yang belum mempunyai nama khusus ini akan menjurus kepada Kementerian Kewangan kerana dilihat di situlah bermula segala salah guna kuasa.

“1MDB dan SRC hanya sebahagian daripadanya. Jauh lebih besar adalah kejahatan yang berlaku di mana kesemua tender kerajaan diputuskan di Kementerian Kewangan di mana hanya Menteri Kewangan yang boleh mempengerusikan dan meluluskannya.

“Inilah komitmen parti baru ini. Saya, Datuk Seri Khairudin Abu Hassan dan beberapa lagi aktivis yang pernah merengkok di penjara dalam perjuangan melawan rasuah akan meloporinya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, parti ini akan berjuang ke arah satu matlamat sahaja iaitu memerangi rasuah habis-habisan.

“Parti ini terbentuk dengan satu objektif sahaja ( a one single objective party).

“Tumpuan parti ini bukan kepada pembentukan kuasa sepertimana kebiasaan parti-parti politik lain. Ia lebih kepada proses penyalahgunaan kuasa (abuse of power) bukan kepada proses pembentukan kuasa,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, parti kecil ini akan hilang tumpuan kepada isu apabila ia menjadi besar.

“Parti yang besar juga akan menyebabkan ianya tertumpu kepada perebutan kuasa.

“Justeru, parti ini tidak boleh dan tidak akan menjadi parti besar. Kami akan dan sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang berjuang melawan kejahatan ini,” katanya.

Ezam berkata, pihaknya sedang dalam proses untuk mendaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan segala maklumat khusus mengenai parti seperti nama, protem dan lain-lain akan dikongsikan setelah segala urusan selesai.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *