Share on Facebook

SUNGAI PETANI, Semua 67 lokasi panas atau ‘hot spot’ kemalangan maut di seluruh negara akan dilengkapi papan tanda amaran, sebagai panduan peringatan kepada pengguna jalan raya.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor, berkata 67 lokasi itu dikenal pasti membabitkan 40 daerah keseluruhan yang disahkan mencatat kadar kemalangan maut tertinggi.

Beliau berkata, papan tanda amaran itu akan dipasang pada jarak kira-kira tiga kilometer (km) sebelum kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan, sebagai amaran awal kepada pengguna agar lebih berhati-hati ketika menggunakan laluan terbabit.

“Terdapat 40 daerah dengan 67 lokasi panas kemalangan maut di seluruh negara. Malahan, Kuala Muda adalah tiga daerah yang mencatat kemalangan maut paling tinggi selepas Kuala Lumpur dan Batu Pahat.

“Untuk daerah Kuala Muda sahaja papan tanda amaran ini dipasang di 10 lokasi panas, selain tiga lagi daerah di Kedah yang tersenarai antara 40 paling tinggi kes kemalangan maut iaitu Kota Setar, Kulim dan Kubang Pasu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Pemutihan Blackspot anjuran bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

Turut hadir Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Terdahulu, Sharul Othman dan Dr Mohammed Azman, turut melancarkan pemasangan papan tanda amaran awal lokasi kemalangan maut di Jalan Lencongan Barat, di sini.

Sharul Othman berkata, kajian JSPT dan pelbagai agensi lain mendapati sikap pengguna dan kecuaian manusia menjadi penyumbang utama kepada kemalangan yang berlaku di negara ini dan kegagalan mengawal sikap ketika berada di jalan raya, menjadi faktor utama kemalangan maut terus berlaku setiap tahun.

“Antara kesalahan yang sering dilakukan adalah memandu laju, tukar laluan tanpa isyarat, berlumba, mencelah, langgar arahan lampu isyarat dan guna telefon bimbit,” katanya.

Beliau berkata, analisis kemalangan dibuat sepanjang tiga tahun sejak 2015 tidak jauh berbeza walaupun menunjukkan kadar yang berlaku semakin berkurangan.

Katanya, pada 2015 sejumlah 489,606 kemalangan berlaku dengan 6,193 kes kemalangan maut dan 6,706 kematian.

“Ia meningkat kepada 521,466 kes pada 2016 dengan 6,570 kes kemalangan maut dan 7,152 kematian, manakala untuk tahun ini pula 446,129 kes kemalangan dilaporkan dengan 5,244 kes kemalangan maut dan 5,646 kematian.

“Penunggang dan pembonceng motosikal masih penyumbang utama kematian akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *