Anda di sini!
Utama > Terkini > Pandangan Pemimpin ASEAN Langkau 2016

Pandangan Pemimpin ASEAN Langkau 2016

mh online

Semasa Singapura bersedia memulakan perjalanan baru, beberapa rakan dalam ASEAN juga membuka lembaran baru masing-masing bersama aspirasi melangkaui 2016.

Singapura menyambut kemerdekaan ke-50 atau jubli emasnya sepanjang tahun lepas.

“Kita tidak boleh mengharapkan perjalanan yang mudah di hadapan,” kata Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengingatkan warga Singapura dalam perutusan sempena Tahun Baru 2016.

“Kita hidup dalam dunia yang sangat berbeza daripada perintis kita 50 tahun lalu. Ya, kita mempunyai lebih banyak peluang dalam dunia sejagat, tetapi kita juga menghadapi persaingan yang sengit. 

“Ekonomi kita semakin perlahan dan menjalani peralihan. Namun perjalanan ini boleh menjadi menarik sebagaimana 50 tahun dahulu,” katanya.

Presiden Filipina, Benigno S. Aquino III berkata beliau mengharapkan keamanan dan kemakmuran pada 2016.      “Ekonomi kita memberangsangkan, demokrasi yang kukuh, dan kehadiran di peringkat global yang semakin meluas bukan sahaja menjanjikan permulaan yang baik untuk tahun mendatang tetapi juga menyerlahkan kisah kebangkitan yang sedang berlangsung di Filipina di bawah Daang Matuwid,” katanya.

Daang Matuwid merupakan pelan tindakan yang akan melonjakkan negara itu kepada status Dunia Pertama dan menjadikannya ekonomi US$1 trilion menjelang tahun 2030.

Aquino juga mengingatkan warga Filipina mengenai pilihan raya akan datang dan berharap “untuk mengekalkan lonjakan peningkatan pertumbuhan negara dan memastikan negara mengikut Daang Matuwid”.

Presiden Myanmar U Thein Sein yakin tahun 2016 akan mewujudkan peluang keemasan, baik dalam politik dan ekonomi.     Bagaimanapun, beliau berkata, merebut peluang berkenaan memerlukan “usaha yang luar biasa.”

“Semua rakyat perlu meningkatkan usaha, memelihara semangat patriotik dan bersedia untuk terlibat dalam tugas-tugas pembinaan negara, melaksanakan apa sahaja kewajipan yang diberikan kepada mereka,” katanya

Raja Thailand Bhumibol Adulyadej menggesa rakyat Thailand supaya mempersiapkan diri mereka dari segi fizikal dan rohani untuk berdepan dengan ketidaktentuan dalam kehidupan serta tidak leka pada tahun ini.      Baginda mahu semua rakyatnya sentiasa kekal sihat dan bijak agar dapat melalui situasi yang tidak diduga serta mencapai kebahagiaan, kemakmuran dan kejayaan yang mereka inginkan.

Sementara itu, Presiden Indonesia Joko Widodo menyaksikan matahari terbit pertama pada 2016 di Pantai Waiwo di Raja Ampat, Papua Barat hari ini.     Agensi berita Antara melaporkan bahawa Jokowi berjalan ke dok pada kira-kira pukul 6.15 pagi waktu tempatan sebelum matahari terbit sepenuhnya.

Melihat keindahan Raja Ampat, Jokowi berkata beliau mahu lebih ramai pelancong melawat Indonesia, kata laporan itu.     Dilaporkan Jokowi juga merasmikan beberapa projek di Papua dan memasang kapsul masa di Merauke yang mengandungi impian bagi negara bermula 2015 hingga 2085.

Posted from WordPress for Android

Leave a Reply

Top