Share on Facebook

KUALA LUMPUR, Pameran Jalan Merdeka di Carcosa Seri Negara, yang memaparkan perjalanan negara mencapai kemerdekaan, akan dilanjutkan sehingga 31 Mac 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Asian Heritage Museum Sdn Bhd, K.K Tan berkata ia pada asalnya diadakan selama sebulan iaitu sejak 1 September lepas namun atas permintaan ramai, pameran itu dilanjutkan sehingga 31 Dis.

“Kami membuat keputusan untuk melanjutkan lagi sehingga 31 Mac 2018 bagi memberi peluang kepada orang ramai menghayati sejarah kemerdekaan negara seterusnya mempromosikan Carcosa sebagai bangunan warisan negara.

“Setakat ini pameran itu telah menerima lebih 10,000 pengunjung termasuk pelajar sekolah dan orang awam, ” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke pameran itu di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Datuk Baharin Idris.

Tan berkata pameran bertemakan ‘Mengembara Laluan ke Arah Kemerdekaan’ adalah mengenai sejarah menyeluruh perjuangan Merdeka rakyat Malaya bagi memupuk semangat patriotisme dan perpaduan khususnya di kalangan golongan muda.

“Pameran ini diadakan di bangunan bersejarah ini yang turut menyaksikan Perlembagaan Tanah Melayu digubal dari 1955 hingga 1957 dan Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani oleh Raja-raja Melayu pada 5 Ogos 1957.

Sementara itu, Baharin berkata pameran ini turut dapat memupuk kembali minat golongan muda terhadap sejarah kemerdekaan negara menerusi lebih 200 artifak dan koleksi gambar-gambar bersejarah yang dipamerkan.

“Contohnya, kedatangan Jepun ke Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua dapat difahami menerusi basikal yang digunakan oleh tentera Jepun yang turut dipamerkan di pameran itu, ” katanya.

Katanya para pengunjung digalakkan melawat pameran itu bagi menghargai patriotisme masyarakat Tanah Melayu daripada pelbagai etnik bersatu padu di bawah kepemimpinan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam memperjuangkan kemerdekaan daripada British pada tahun 1957.

Katanya bagi rombongan sekolah dan berkumpulan, pihak Carcosa boleh menyediakan perkhidmatan pemandu pelancong untuk melawat pameran itu yang dibuka setiap hari bermula 9 pagi hingga 6 petang. Masuk adalah percuma. Tan berkata untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari laman Facebook ‘Jalan1957’ atau Instagram @JalanMerdeka.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *